Ternak lembu lepas bersara ATM
Oleh Jamaludin Husin
jamaludin@bharian.com.my
MUAR: Bermula dengan menternak tiga anak lembu iaitu seekor jantan dan dua betina, seorang bekas Penyelia Pemilihan Pegawai Kadet berpangkat Pegawai Waran 2 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shamsuddin Rais, 52, kini memiliki kira-kira 100 lembu dalam tempoh enam tahun.
Katanya, beliau mula menternak lembu secara kecilan pada 2003, selepas lima tahun bersara daripada ATM pada 1998, bertujuan mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah.
Bagaimanapun, katanya, minatnya bercambah selepas mendapati ternakannya itu semakin serasi dengannya dan menambah bilangan haiwan ternakan itu dari setahun hingga ke setahun.
“Kini jumlah ternakan melebihi 100 ekor, selepas sebahagiannya dijual pada kadar RM1,900 hingga RM2,000 seekor apabila haiwan itu berusia dua tahun.
“Sebahagian besar ternakan saya baka tempatan yang membiak dalam ladang kelapa sawit di Kampung Batu 10, Paya Panjang, Jalan Muar-Pagoh, dekat Bukit Pasir, Muar,” katanya, ketika ditemui di ladang ternakannya.
Shamsuddin berkata, beliau berusaha membiakkan ternakan itu dengan baka import dari Australia yang bersaiz besar dalam usaha menghasilkan bekalan daging yang lebih banyak berbanding dengan baka tempatan.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu kurang berhasil apabila 30 baka import dibawa masuk pada awal Januari lalu, 26 daripadanya mati dipercayai kesan daripada perubahan cuaca yang menyebabkannya tidak mampu bertahan lama berbanding dengan baka tempatan.
“Antara punca yang menyebabkan lembu baka Australia itu mudah mati disebabkan keadaan ladang ternakan yang berbukit serta berlumpur dan becak apabila hujan, selain suhu panas.
“Saya percaya faktor cuaca turut menyebabkan haiwan import itu tidak mampu hidup lama selain sering terjatuh ketika menuruni tanah yang sedikit curam dalam ladang ternakan,” katanya berasal dari Kampung Sungai Renggam, Panchor, di sini.
Shamsuddin berkata, beliau bersedia membekalkan lembu untuk majlis korban untuk Aidiladha, namun tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Aidiladha.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan