Sabtu, 21 November 2009

Kerajaan Tumpu Promosi Jenama Berkualiti

Kerajaan Tumpu Promosi Jenama Berkualiti

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan menumpu untuk mempromosikan jenama berkualiti bagi membina kesetiaan pengguna dan membezakan produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran.

Penjenamaan lebih daripada hanya sekadar mengiklankan nama atau logo, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Usaha mendapatkan kualiti seumpama itu memerlukan penambahbaikan yang penuh teliti, terutamanya dalam reka bentuk, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran produk, katanya pada malam anugerah 30 Jenama Paling Bernilai Malaysia, hari Jumaat.

Gabungan identiti dan kualiti yang padu akan memberi prospek baik bagi mengukuhkan kemampanan jenama Malaysia dalam pasaran, katanya.

Bagi membantu syarikat-syarikat menyepadukan penjenamaan ke dalam strategi dan amalan perniagaan mereka, Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan syarikat Malaysia mencipta dan membangunkan jenama produk dan perkhidmatan mereka.

Salah satunya Program Pembangunan Jenama-PKS yang bertujuan membantu syarikat mengubah produk dan perkhidmatan mereka bagi mencapai kualiti dan keandalan yang lebih tinggi serta meningkatkan pembungkusan, agar ia mampu menjadi satu jenama yang unggul, katanya.

Selain itu, geran juga disediakan kepada syarikat-syarikat bagi pembangunan dan promosi jenama Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Direktori Jenama Malaysia memprofil jenama utama Malaysia, terutamanya dalam mengketengahkan produk bernilai kukuh, serta tarikan globalnya.

Pelbagai insentif juga disediakan bagi aktiviti penggalakan eksport dan promosi jenama, katanya.

Pertumbuhan jenama Malaysia yang dianggap lebih antarabangsa akan mengukuhkan lagi reputasi Malaysia bagi produk berkualiti dan meningkatkan kedudukan negara dalam pasaran global.

Ini sejajar dengan strategi Kerajaan untuk menggalakkan syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran global dengan mengembang ke pasaran luar negara bagi memanfaatkan peluang dan mendapatkan teknologi baharu, katanya.

Sementara itu, Public Bank Bhd, dengan nilai jenama RM6.593 bilion, muncul sebagai jenama paling bernilai negara.

Public Bank merupakan satu daripada lima jenama dalam senarai yang bernilai sekurang-kurangnya AS$1 bilion. Jenama lain ialah Maybank, CIMB, Celcom dan Parkson.

-- Bernama

Tiada ulasan: