Khazali usahawan perabot
Oleh SHAH NIZAM OMAR
shahnizam.omar@kosmo.com.my
KHAZALI YAHYA
________________________________________
DIA pernah berhenti sekolah beberapa kali akibat kesusahan yang dialami keluarga. Pengalamannya membanting tulang empat kerat demi mengusahakan sawah padi milik ibu bapanya ketika rakan sebaya yang lain bersekolah tidak pernah disesali.
Memandangkan dirinya tidak berpelajaran tinggi dan hanya tamat tingkatan tiga di Sekolah Menengah Agama Sungai Limau, Yan, Kedah, pada suatu hari seorang kenalan bapanya dari Alor Setar datang ke rumah untuk membawanya bekerja.
Riak gembira terpancar pada wajah Khazali Yahya kerana dia tahu kedatangan kenalan bapanya itu, Pak Omar umpama pembuka rezeki buat dirinya. Azamnya hanya satu iaitu mahu mengubah nasib diri dan keluarga.
Khazali kemudian gigih mempelajari selok-belok pembuatan perabot bersama Pak Omar selama dua tahun sebelum berubah angin bekerja di sebuah kilang di Guar Cempedak selama 10 tahun. Semua itu akhirnya menjadi titik tolak kepadanya untuk membuka sebuah bengkel perabot sendiri dengan nama Khazali Perabot.
Dengan modal permulaan sebanyak RM6,000, pemilik Khazali Perabot, Khazali, 58, boleh berbangga dengan pencapaiannya sekarang setelah menghambakan diri dalam industri perabot selama 23 tahun. Pendapatannya kini mencecah RM1 juta setahun.
Bagaimanapun, Khazali mengakui untuk membina nama dalam industri perabot dan perkayuan bukanlah mudah. Dia mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan bersama isteri tanpa sebarang bantuan.
"Ketika itu, dengan berbekalkan mesin pemotong kayu, saya dan isteri, Rosnah Abdul Razak, 54, bekerja siang dan malam demi meneruskan kehidupan untuk membesarkan lima orang anak.
"Tempahan yang diterima juga amat terhad kerana masih belum mempunyai pelanggan dari luar dan hanya mengharapkan penduduk kampung," katanya.
Berkat kerja keras Khazali, akhirnya pada tahun 1991, namanya mula dikenali terutama dalam kalangan penduduk negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Pulau Pinang dan Perlis.
SET perabot dapur dan almari yang dihasilkan syarikat Khazali Perabot di Sungai Limau, Yan, Kedah.
________________________________________
Bantuan agensi kerajaan
Namun begitu, kejayaannya dalam bidang tersebut turut disumbang oleh tunjuk ajar dan bantuan agensi-agensi kerajaan berkaitan.
"Saya pernah mengikuti kursus-kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Ia banyak memberi khidmat nasihat, selain membuat promosi di ekspo-ekspo besar dalam negara dan pemberian bantuan kewangan.
"Saya rasa sangat bersyukur dan berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh MTIB. Tanpa pertolongan mereka, saya tidak mampu untuk sampai ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Khazali kini menggaji 20 orang pekerja dan beroperasi di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam, Yan. Dia berhasrat untuk menjadikan kesemua pekerjanya sebagai usahawan sama sepertinya.
"Sampai bila nak bekerja makan gaji? Saya rasa semua pekerja di Khazali Perabot mampu pergi jauh. Malah ada antaranya telah pun berjaya membuka bengkel perabot sendiri," jelasnya.
Menyentuh kelebihan yang ada pada Khazali Perabot, katanya, kesemua perabot di situ dibuat mengikut kreativiti sendiri dan paling penting ia mengikut peredaran zaman.
Jelas Khazali lagi, syarikat yang diusahakannya itu membuat perabot berdasarkan tempahan pelanggan.
Biasanya, pelanggan-pelanggan yang ingin membuat tempahan akan datang sendiri ke ruang pameran sebelum perbincangan mengenai harga dan sebagainya dibuat bersama-sama.
Khazali juga akan menghantar kakitangan untuk mengukur bahagian-bahagian rumah seperti yang telah dibincangkan. Setelah siap, syarikat akan menghantar serta memasangnya.
Antara jenis perabot yang dihasilkan ialah almari baju, kabinet dapur, almari perhiasan dan rak-rak serbaguna.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Khazali di talian 012-4310685 atau faks ke 04-4255639.
Jelajah industri kayu
Dalam perkembangan lain, MTIB telah menganjurkan lawatan pertama kali ke Kedah dengan membawa 32 orang yang terdiri daripada kakitangan MTIB, pihak bank dan pengamal media. Ia bertujuan memperkenalkan industri perkayuan negara yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Pengarah Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Korporat MTIB, Noor Laila Mohamed Halip berkata, lawatan itu diadakan untuk menyampaikan maklumat terkini tentang kemajuan dan prestasi kepelbagaian produk kayu.
DUA pekerja kilang Khazali sedang menyiapkan perabot yang ditempah khas oleh pelanggan.
________________________________________
"Kali ini MTIB memilih Kedah kerana ia mempunyai ramai usahawan dalam bidang perkayuan," katanya ketika ditemui pada Lawatan Mengenal Industri Perkayuan dan Mini Treasure Hunt MTIB bersama wakil media dan institusi kewangan.
Noor Laila turut menyatakan pihaknya menyumbang sebanyak RM40,000 kepada Khazali Perabot dalam bentuk geran yang diberikan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.
"Biasanya ada dua jenis bantuan yang akan diberikan iaitu dalam bentuk bahan mentah dan mesin. Bagaimanapun, apa juga jenis bantuan yang diberikan dalam bentuk wang, ia tidak dinamakan atas nama pemilik syarikat, tetapi akan diberikan kepada pembekal bahan-bahan yang dibeli oleh syarikat itu," katanya.
Dalam lawatan selama tiga hari bermula 27 hingga 30 Oktober lalu, peserta berpeluang melawat beberapa kilang kayu serta perabot di serata Kedah termasuklah Malaysia Wood Industri Sdn. Bhd. (Sungai Petani), Khazali Perabot (Yan) dan NHL Indah Enterprise di Kodiang.
Sabtu, 28 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 ulasan:
Untuk tempahan perabot tempahan
012 5522523 shahrizal khazali
Cari kerusi until cafe modern
Untuk tempahan perabot 0174772365:hanif khazali
Hanif Khazali Furniture. Utk tempahan 01135706065
Catat Ulasan