Sabtu, 21 November 2009

Cari Pasaran Khusus Bagi Produk Unik

Musa Mahu Sektor Pembuatan Cari Pasaran Khusus Bagi Produk Unik









KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman meminta sektor pembuatan di negeri itu mencari pasaran khusus bagi beberapa produk unik negeri itu dalam usaha menjadi lebih inovatif.

Katanya industri pembuatan mesti melabur dalam penyelidikan dan pembangunan serta berkerjasama dengan institusi penyelidikan untuk menghasilkan produk baharu yang menarik minat pengguna.

"Dengan menambah nilai kepada produk dan melabur dalam pakej menarik serta memahami trend pasaran, saya pasti industri pembuatan Sabah akan berkembang," katanya pada majlis Malam Persekutuan Pekilangan-Pekilang Sabah (FSM), malam Jumaat.

Musa berkata walaupun kerajaan melaksanakan peranannya dalam menangani isu-isu berkaitan pekilangan, pengusaha dalam sektor itu wajar mengikuti trend dan menkaji kehendak pasaran.

"Industri pertanian di Sabah sangat maju dan ia semakin terkenal kerana aktiviti akuakulturnya.

"Terdapat rangkaian produk hiliran yang boleh dihasilkan menerusi sektor-sektor itu yang boleh diguna untuk meningkatkan kedudukannya di rantau ini," katanya.

Musa berkata kerajaan negeri telah melantik FSM untuk meneraju Kumpulan Kerja Teknikal bagi Infstruktur.

"FSM bersama dewan perniagaan, persatuan dan peneraju industri utama seperti KKIP Sdn Bhd dan POIC Sdn Bhd, telah mengemukakan isu-isu serta cabaran yang menjejaskan industri itu serta mencadangan tindakan untuk meningkatkan infrastruktur di negeri ini.

"Permohonan itu meliputi keperluan membaiki infrastruktur, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, jalan dan landasan kereta api, jambatan, selain sistem pembentungan dan saliran kawasan perindustrian," katanya.

Musa berkata kerajaan akan menimbang semua cadangan dan maklum balas daripada sektor swasta sebelum membuat perubahan terhadap dasar, syarat dan peraturan membabitkan industri dan orang ramai.

Beliau juga mendorong FSM supaya terus mempromosikan Sabah melalui Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) yang dianjurkan bersama Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI).

SIE kini lebih besar dan bertambah baik dari segi penglibatan, pengaruh jualan dan jumlah pengunjung, dan SIE telah menyediakan manfaat ekonomi jangka pendek dan panjang kepada Sabah dan ia petanda baik dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan dan dagangan, kata Ketua Menteri.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: