Isnin, 7 Disember 2009

RMG tawar pakej untuk PKS

RMG tawar pakej untuk PKS

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sebagai memenuhi tanggung jawab sosial korporatnya, Riosue Media Group Sdn. Bhd. (RMG) menawarkan pakej reka bentuk laman web termurah untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang baru memulakan perniagaan.

Pengarah reka bentuk syarikat itu, Ambrose YK Lee berkata, pihaknya di RMG menawarkan pakej berkenaan dengan bayaran serendah RM1,999.

Katanya, melalui pakej itu, PKS berpeluang mengiklankan atau menceritakan mengenai produk dan barangan masing-masing melalui laman web.

Menurut beliau, pesanan ringkas mengenai syarikat PKS dan produk yang ditawarkan turut akan diiklankan melalui akaun e mel pelanggan dalam tempoh tujuh hari.
''Ia adalah baik untuk PKS yang baru memulakan perniagaan. Pengiklanan yang berkesan akan memberi pertumbuhan perniagaan yang baik.

''Pada zaman ini, pengiklanan melalui internet dan laman web menunjukkan satu perubahan dan menjadi aliran kepada penduduk bandar serta golongan perniagaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ketika ditanya tentang matlamat pihaknya menumpukan kepada PKS, beliau berkata, RMG mahu membantu memasarkan produk dan barangan PKS melalui teknologi maklumat.
Katanya, kaedah ini sudah lama diaplikasikan oleh masyarakat peniaga.

"Setiap tahun, ratusan syarikat PKS muncul dan mereka memerlukan sistem pengiklanan yang benar-benar berkesan seperti laman web bagi meningkatkan pemasaran produk yang ditawarkan masing-masing,'' ujarnya.

Mengulas perancangan masa hadapan RMG, YK Lee menambah, pihaknya mahu mencari rakan kongsi di seluruh dunia bagi mengembangkan sayap perniagaannya.

Katanya, perniagaan membina laman web tidak memerlukan seseorang berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain sebaliknya ia boleh dikendalikan secara maya.

"Saya mahu mencari ramai rakan kongsi iaitu syarikat-syarikat dari Asia Barat dan negara-negara Eropah yang boleh memberi rangkaian perniagaan yang meluas kepada kami dalam bidang reka bentuk web dan penyelesaian aplikasi teknologi maklumat,'' ujarnya.
Buat masa ini, jelas YK Lee, RMG akan menumpukan kepada Singapura yang dilihat mempunyai potensi yang luas dalam rangkaian perniagaan melalui laman web.

Untuk keterangan lanjut, RMG boleh dihubungi melalui talian 03-78809257 atau melalui laman web di alamat www.riosue.com.

Utusan Online

Tiada ulasan: