Isnin, 7 Disember 2009

Idea Niaga : Ikan masin ubah kehidupan

Ikan masin ubah kehidupan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my



SALAH seorang nelayan dan pekerja perusahaan ikan masin milik Samsudin Mohammad Salih menyusun ikan masin untuk dijemur di bawah terik matahari.
________________________________________

MELAKA 4 Dis. - Melihat kepayahan para nelayan di Pantai Puteri dekat sini menangkap ikan di lautan saban hari pasti membuat hati kita tersentuh.

Namun nasib para nelayan itu bergantung kepada hasil tangkapan iaitu ikan-ikan yang segar, masih berkualiti dan tidak busuk.

Sekiranya ikan tersebut busuk, ia tidak laku untuk dijual dan para nelayan tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa membuangnya.

Namun begitu, kesungguhan seorang nelayan, Samsudin Mohammad Salih, 40, membeli ikan-ikan yang tidak boleh dijual untuk dijadikan ikan masin bagi pasaran tempatan cukup melegakan kira-kira 110 para nelayan di Pantai Puteri.

Mereka kini tidak lagi perlu risau jika ikan-ikan yang ditangkap tidak dapat dijual kerana masih ada peluang untuk menambah pendapatan jika menjualnya kepada Samsudin.
Demi memastikan para nelayan beroleh pendapatan daripada ikan yang tidak boleh dijual, Samsudin sanggup menawarkan harga serendah RM1.70 sekilogram untuk membelinya daripada mereka.

Tidak hairanlah, Pengkalan Perigi di Pantai Puteri kini cukup dikenali sebagai tempat tumpuan orang ramai untuk mendapatkan ikan-ikan masin segar dengan harga yang berpatutan

Antara ikan yang amat popular dijadikan sebagai ikan masin ialah gelama, puput kurau, senangin selampai, duri dan lelayo.

Ikan tersebut dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM38 sekilogram bergantung kepada jenis ikan, ia mampu menjana pendapatan lumayan di samping hasil penjualan ikan segar.

''Saya mendapat idea untuk membuat ikan masin setelah melihat keperitan nasib para nelayan apabila ada sebahagian ikan tangkapan mereka tidak boleh dijual dan dibuang begitu sahaja.

''Apabila melihat keadaan itu timbul idea kepada saya untuk menjadikannya sebagai ikan masin memandangkan pasaran ikan ini cukup lumayan," kata Samsudin ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bermula secara kecil-kecilan kini perniagaan ikan masin yang diusahakan olehnya semakin mendapat sambutan dan menjanjikan pendapatan yang cukup lumayan.
Berbekalkan sedikit kemahiran yang ada, Samsudin mencubanya sendiri dengan mengambil ikan-ikan yang tidak laku ini, memerap dengan garam dan dijemur di bawah matahari terik untuk beberapa hari mengikut cuaca.

Aspek kebersihan amat dititik-beratkan sepanjang proses pembuatan ikan masin itu bagi memastikan ia berada dalam keadaan segar dan sempurna.

Tugas rutin yang dilakukan seawal 8.30 pagi setiap hari apabila dia dan tiga pekerjanya menunggu nelayan-nelayan kembali ke darat untuk membeli ikan-ikan yang tidak dapat dijual kepada orang ramai.

Semua ikan yang sampai ke bengkel akan ditimbang, disiang dan dibersihkan dengan teliti.

''Kami memastikan setiap ekor ikan benar-benar bersih untuk mengelakkan sebarang tindak balas kuman yang boleh menjejaskan mutu hasil kami.
''Ini bagi memastikan produk ini sentiasa segar dan bebas kuman menjadikan ia lebih selamat dan tahan lebih lama berbanding ikan masin yang terdapat di pasaran," jelasnya.

Seterusnya ikan-ikan yang diasingkan mengikut jenis ini dilumuri dengan garam kasar dan dijemur di kawasan terdedah kepada panas matahari.

Ikan masin yang telah siap diproses pula dibungkus dalam dua lapisan plastik yang kedap udara bagi menjamin ia cukup segar.

Menurut Samsudin, pengedaran produk ikan masin miliknya semakin berkembang terutama untuk pasaran tempatan.

Seorang nelayan, Zulkifli Abdullah, 50, berkata, usaha yang dijalankan oleh Samsudin ini merupakan sesuatu yang murni kerana membantu para nelayan dalam menambahkan hasil pendapatan.

''Jika dahulu kami hanya mampu membuang ikan-ikan yang tidak laku dijual tetapi kini, hasil tangkapan tersebut dibeli oleh anak muda ini untuk dibuat ikan masin.
''Saya turut membantunya menjemur ikan-ikan tersebut dan bagi saya ini merupakan satu bidang yang baru kerana mampu menjana pendapatan kami sebagai nelayan," katanya.
Dalam pada itu nelayan, Abd. Rahman Ahmad, 56, pula berkata, hasil pendapatannya meningkat dengan adanya penjualan ikan masin.

''Dengan usaha yang dijalankan oleh Samsudin ini, kami tidak perlu gusar lagi mengenai ikan-ikan yang tidak laku ataupun sudah tidak berkualiti," katanya

Tiada ulasan: