Rabu, 9 Disember 2009

Celcom bantu UUM lahirkan usahawan berjaya

Celcom bantu UUM lahirkan usahawan berjaya



Najmuddin Abdullah (kanan) meletakkan tangan pada bebola kaca khas bagi merasmikan Majlis Pelancaran Praktikum Keusahawanan UUM-PUNB-Celcom di Sintok, kelmarin. - gambar ihsan UUM.
________________________________________

SINTOK 7 Dis. - Celcom (M) Berhad sentiasa memberi sokongan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pelbagai program keusahawanan inovatif yang ditawarkan bagi melahirkan usahawan berjaya di kalangan para pelajar.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, sokongan serta kerjasama yang diberikan itu penting supaya pihak IPT dapat melahirkan lebih ramai usahawan atau majikan pada masa akan datang.

Kata beliau, UUM, sebuah universiti yang aktif mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dan mencipta senario baru di kalangan pelajar yang berhasrat berhasrat untuk menjadi majikan, bukannya sebagai pekerja.

"Saya pasti sekiranya semua universiti mempunyai arah tuju begini, tidak akan ada pelajar yang menganggur apabila mereka dilatih untuk menjadi majikan yang serba boleh," katanya sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Praktikum Keusahawanan UUM-PUNB-Celcom yang berlangsung di sini, semalam.

Menurut beliau, Celcom merupakan sebuah syarikat telekomunikasi yang dinamik dengan menawarkan produk inovatif pada harga yang kompetitif untuk memberikan saingan sengit dalam industri telekomunikasi Malaysia.

Jelas Najmuddin, PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) telah memulakan Program Siswazah Perantis PUNB yang bertujuan membantu golongan siswazah bumiputera mendalami selok-belok perniagaan melalui latihan di syarikat naungannya (Mentor).
"Biasanya, setelah tamat pengajian, graduan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan idea perniagaan yang baik dan modal yang mencukupi selain kurang pengalaman dan keyakinan diri," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, satu mekanisme telah dibentuk dalam usaha melahirkan usahawan anjuran Kolej Perniagaan UUM (UUM COB) dengan kerjasama PUNB dan Celcom membabitkan 33 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Sementara itu, Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan UUM COB, Prof. Madya Dr. Kamil Md. Idris berkata, program itu diadakan untuk menempatkan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan menjalani praktikum di bawah Program Usahawan Perantis PUNB untuk melahirkan usahawan telekomunikasi Celcom.
"Mereka akan menjalani latihan asas selama dua minggu di UUM sebelum ditempatkan di syarikat telekomunikasi Celcom sekitar utara termasuk Pulau Pinang, Perak dan Kedah selama enam bulan.

"Dalam tempoh itu, mereka akan didedahkan dengan cara pengendalian kedai telekomunikasi Celcom sebagai persediaan untuk mereka membuka perniagaan sendiri apabila menamatkan praktikum," kata beliau.

Tiada ulasan: