Jumaat, 11 Disember 2009

Usahawan perlu lebih kreatif pasar produk

Usahawan perlu lebih kreatif pasar produk

SANTUBONG 10 Dis. - Usahawan di negeri ini perlu lebih kreatif untuk memasarkan produk keluaran mereka sekiranya ingin menembusi pasaran luar negara.
Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, peniaga tidak boleh hanya bergantung pada corak pemasaran produk sedia ada kerana strategi pemasaran perlu dipelbagaikan bagi meningkatkan hasil penjualan produk mereka.

Menurutnya, penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dilihat sebagai pendekatan terbaik kepada peniaga untuk memasarkan produk masing-masing ke peringkat global.

''Kita mesti merangka strategi terbaik dan mengikut peredaran zaman dalam memasarkan sesuatu produk.

''Dengan menggunakan kecanggihan ICT, kita dapat mengurangkan kos transaksi, memaparkan ketelusan harga dan mewujudkan kemungkinan pengagihan semula keuntungan dalam rangkaian pembekalan," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pemasaran Asia Pasifik Ketiga yang diadakan di Damai Beach Resort Hotel di sini.

Turut hadir, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Dr. Khairuddin Ab. Hamid, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Unimas, Prof Dr. Shazali Abu Mansor dan Pengerusi Persidangan APMC Ketiga, Shahrizal Hashim.

Abang Johari memberitahu, Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula jadi dan hasil daripada produk keluaran sesebuah syarikat itu mampu dipasarkan ke peringkat yang lebih jauh lagi.

Namun jelasnya, usaha itu memerlukan promosi yang lebih efisien daripada pengusaha produk itu sendiri.

''Promosi juga mesti diterapkan dengan ciri-ciri yang boleh dipercayai supaya pelanggan asing akan tertarik dengan produk yang kita keluarkan," jelas beliau.
Sementara itu, Abang Johari berkata, pembangunan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) bukan sahaja akan menjana pendapatan untuk negeri ini malah turut memberi kesan kepada negara-negara lain di Asia Tenggara.

''Dengan adanya SCORE, lebih banyak pelabur asing terutama dari benua Eropah dan Asia akan menjalankan urusniaga berskala besar di negeri ini," katanya.

Tiada ulasan: