Isnin, 7 Disember 2009

Perak lancar laman portal usahawan

Perak lancar laman portal usahawan
Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 5 Dis. - Laman portal usahawan yang berperanan sebagai perantara antara Exco kerajaan negeri dengan orang ramai akan dilancarkan Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, portal tersebut akan menjadi pusat sehenti orang ramai yang berminat mengetahui masalah berkaitan perniagaan.

Katanya, portal tersebut akan dihubungkan dengan semua badan berkaitan untuk membantu orang ramai selain memberi peluang latihan kepada mereka.

"Sebenarnya, ramai di luar sana yang berminat dalam bidang perniagaan, cuma mereka tidak tahu caranya.

"Melalui portal ini, seorang pegawai khas akan diberi tanggungjawab menyelesaikan sebarang isu berkaitan," katanya selepas merasmikan Seminar Pembangunan Usahawan Telco & Post Berhad Negeri Perak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Eksekutif Telco & Post Berhad, Datuk Daud Daros.
Menurut Hamidah, portal itu akan dilengkapi dengan maklumat-maklumat perniagaan, penganjuran kursus dan pencapaian ekonomi negeri dari semasa ke semasa.

"Portal ini sudah hampir siap, tetapi lebih kepada bidang usahawan. Kita tengah kumpul maklumat untuk masukkan bidang kebajikan dalam portal yang sama.

"Ini adalah pendekatan untuk mendekati masyarakat. Mereka boleh mengemukakan sebarang persoalan dan akan dijawab dalam tempoh 24 jam," katanya.

Kata Hamidah lagi, idea mewujudkan portal itu timbul selepas mendapati hampir 1,000 pengguna melayari laman blog peribadinya setiap hari.

Sejak blognya diwujudkan enam bulan lalu, menurutnya, beliau menerima 50,000'peminat' yang berkongsi pelbagai cerita dan masalah.
"Jadi, saya wujudkan portal khas (usahawan) untuk memudahkan pengguna berkomunikasi dengan saya selepas ini," katanya.

utusanperak@utusan.com.my

Tiada ulasan: