Rabu, 9 Disember 2009

Usahawan Melayu dicabar lupakan bantuan kerajaan

Usahawan Melayu dicabar lupakan bantuan kerajaan






KUALA LUMPUR 7 Dis. – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini mencabar usahawan Melayu agar melupakan bantuan kerajaan sebaliknya berusaha sendiri untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, sebagai golongan patriotik, sudah sampai masanya untuk usahawan Melayu membuktikan bahawa mereka mampu berusaha, bersaing dan membangunkan perniagaan tanpa sokongan kerajaan.

‘‘Usahawan Melayu boleh lakukan dan perlu berjuang mempertahankan nama baik orang Melayu dengan melupakan bantuan daripada kerajaan. Banyak bukti di mana usahawan Melayu telah berjaya baik di dalam dan luar negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi motivasi kepada usahawan-usahawan Melayu pada Majlis Bersama Tun Musa Hitam bertema Memperkasa Ekonomi Bangsa anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini hari ini.

Majlis itu disertai kira-kira 100 usahawan Melayu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Musa memberitahu, usahawan Melayu perlu melupakan bantuan kerajaan sebaliknya harus mencari dan membangunkan perniagaan dengan usaha sendiri.

Beliau berkata, imej syarikat milik kerajaan (GLC) yang dikaitkan dengan orang Melayu juga mencemarkan syarikat-syarikat tersebut kerana pesaing-pesaing di negara lain menganggap syarikat itu tidak mampu bersaing.

Tambah beliau, imej GLC sebagai sebuah institusi perniagaan Melayu tidak bagus untuk orang Melayu sebaliknya ia harus dijenamakan sebagai entiti global yang selari dengan peredaran zaman sekarang.

‘‘Mentaliti bahawa GLC itu adalah institusi perniagaan Melayu perlu dikikis bukan kerana anti Melayu tetapi ia tidak bagus dijenamakan sebagai institusi Melayu sebaliknya harus dilihat sebagai entiti global,’’ katanya.

Musa memberitahu, beliau sebagai Pengerusi Sime Darby Berhad (Sime Darby) telah menjadikan syarikat itu sebagai entiti global dengan operasi syarikat di 23 buah negara.

Katanya, syarikat itu terpaksa bersaing sebagai entiti global dan mengikis imej sebagai institusi perniagaan Melayu kerana setiap urus niaga dilaksanakan berdasarkan kompetitif bukan kerana hak istimewa orang Melayu.

Jelasnya, Sime Darby sekarang amat berjaya di Belanda, Thailand, China dan banyak lagi negara kerana keupayaan syarikat untuk bersaing dengan syarikat-syarikat global lain.

Sehubungan itu beliau mencadangkan kepada usahawan, pertubuhan dan syarikat-syarikat Melayu agar mengenepikan slogan untuk mempertahankan Melayu sehingga ke titisan darah terakhir.

‘‘Sebaliknya, mereka perlu berjuang untuk mengumpulkan modal bagi membiayai perniagaan, senaraikan perniagaan yang hendak disertai dan melaksanakan program perniagaan sendiri tanpa perlu mendapatkan bantuan dari kerajaan,’’ katanya.

Tiada ulasan: