Isnin, 28 Disember 2009

Anjakan imej usahawan tani

Anjakan imej usahawan tani

Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan 50 peratus kebergantungan negara terhadap import makanan bernilai RM28 bilion tahun lalu kepada RM14 bilion setahun dalam usaha menjimatkan pengaliran wang keluar.

Langkah itu membantu pembentukan ekonomi seiring model berpendapatan tinggi bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak.

Sejajar usaha itu, pasar tani diperkenalkan sebagai medan pertemuan pengeluar dan pengguna yang menjadi salah satu institusi pemasaran utama negara.

Pasar Tani dilancarkan pada 31 Januari 1985 oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ke arah usaha memperkasakan pemasaran produk pertanian dan industri asas tani di seluruh negara.

Setelah 25 tahun beroperasi, bilangan Pasar Tani mencecah 356 tapak dengan penyertaan seramai 16,260 usahawan dan unjuran nilai jualan RM500 juta setahun.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata, melalui perangkaan itu, Pasar Tani boleh dianggap pasar raya terbesar di Malaysia.

“Pembangunan diteruskan melalui konsep baru seperti Pasar Tani Kekal, Pasar Tani Desaraya, Terminal Makanan Negara (Teman) dan Karavan Pasar Tani.

“Kami menjangkakan peningkatan sehingga 500 tapak, 40,000 usahawan pada akhir 2010 seperti dalam rancangan Malaysia Ke-10,” katanya kepada Sinar Harian.


Pasar mudah alih

Pasar Tani kini bercirikan mudah alih dengan suasana karnival, menggariskan dua matlamat utama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Berdasarkan kaedah itu, Shariff berkata, Fama akan memperluaskan pasaran hasil pertanian dengan memberi peluang latihan kepada usahawan tani.

Fama juga memberi peluang kepada pengeluar menjual hasil lebih sempurna melalui persembahan barang lebih menarik dan perkhidmatan lebih selesa.

Beberapa objektif ditetapkan antaranya, Pasar Tani akan digunakan sebagai medan untuk memperkenalkan keluaran pertanian atau barang keluaran terbaru.

Ia bertujuan menggalakkan pengguna mengamalkan konsep tawar menawar dan mengurangkan pergantungan kepada orang tengah.

Pasar Tani turut meningkatkan pendapatan petani dengan menggalakkan mereka menceburi bidang pertanian melalui pendedahan konsep pemasaran.

Bagi memastikan ia dilaksanakan, konsep Pasar Tani terus diberi suntikan baru dengan membuka penyertaan kepada usahawan tani.

“Ini membabitkan petani, penternak, nelayan termasuk usahawan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.


Konsep masih baru

Barangan yang dipasarkan di Karavan Pasar Tani adalah segar dan berkualiti pada harga berpatutan menggunakan infrastruktur mudah alih.

Shariff berkata, keunikan itu menunjukkan Pasar Tani terus diterima masyarakat dan imej itu diteruskan melalui pengenalan Karavan Pasar Tani.

“Pasar tani bergerak atau ‘karavan’ adalah kaedah baru memudahkan hasil keluaran petani dipasarkan terus kepada pengguna setiap hari,” katanya.

Konsep karavan bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah diperkenalkan di serata dunia seperti England, Jepun, Amerika Syarikat, China, Itali dan Perancis.

Namun, ia masih baru bagi pelaksanaannya di Malaysia kerana ia baru sahaja dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada November lalu.

Shariff berkata, Karavan Pasar Tani adalah konsep baru bagi membantu usahawan memasarkan hasil pertanian secara bergerak.

Penggunaan sistem itu akan memasarkannya kepada pengguna lebih cepat melalui persembahan produk lebih baik dan bermutu pada harga lebih kompetitif.

Konsep terdiri daripada empat kategori komoditi seperti sayur dan buah, ayam, daging dan ikan, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta makanan.

“Ia membabitkan kos RM70,000 meliputi pengubahsuaian, manakala RM5,200 untuk kerja mengecat dan penampalan pelekat.

“Van adalah milik usahawan, manakala model ditentukan Fama bagi memastikan tahap keseragaman dipatuhi,” katanya.


Imej usahawan berjaya

Pengenalan Karavan Pasar Tani adalah anjakan imej dalam menunjukkan kejayaan usahawan sebagai pemasar dan pengeluar hasil tani.

“Pasar Tani kini terbukti sebagai institusi pemasaran berjaya setelah melalui beberapa tahap perkembangan dan pemodenan.

“Perubahan ketara diperkenalkan ialah keseragaman penggunaan kanopi, alas meja, rak bertingkat, pakaian seragam. Kini konsep Karavan lebih mudah dan dekat pengguna,” kata Shariff.

Anjakan itu meningkatkan taraf hidup dan Pasar Tani berjaya menjadikannya kerjaya, selaras hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

Hasil kajian Fama membuktikan peserta yang berniaga dua hingga tiga kali seminggu memperoleh pendapatan bersih berjumlah RM1,758 sebulan.

Ini membuktikan Pasar Tani mampu memberi impak positif terhadap peningkatan pendapatan peserta terutama membabitkan jualan daging dan hasil laut.

Walaupun pembangunan Pasar Tani begitu menyeluruh, katanya, wujudnya cabaran bagi penyimpanan stok seperti sayur-sayuran tidak bertahan lama.

“Cabaran itu sedikit-sebanyak menjejaskan mutu jualan kerana jika mengabaikan kualiti barangan,” katanya.


Peluang untuk semua

Mengenai cabaran lain, usahawan juga tidak berani memasarkan barangan dalam kuantiti yang banyak kerana bimbang berlaku lebihan.

Shariff berkata, sikap itu perlu dikikis berikutan permintaan terhadap barangan basah terutama sayur-sayuran tetap meningkat.

“Selain itu, usahawan turut mengalami kekurangan modal. Justeru, kami tidak menggalakkan usahawan menggunakan modal besar sehingga terpaksa berhutang kerana ia hanya menjejaskan perniagaan mereka.

“Melalui latihan dan bimbingan disediakan Fama, kebajikan usahawan akan dibantu bagi memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Pasar Tani mempunyai kepentingan membabitkan masyarakat terutama golongan usahawan yang bersedia merebut peluang itu.

Beliau berkata, Fama menggerakkan pelbagai cara dengan pelbagai agenda dalam membentuk imej kepada Pasar Tani.

“Pendekatan Fama mungkin berbeza dengan pasar biasa, namun matlamatnya masih sama. Oleh itu, rebutlah peluang ini kerana faedahnya amat besar.

“Jika dulu, saranan itu memfokuskan usahawan tani sebagai golongan sasar, namun kini peluang turut disediakan untuk semua seperti usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan golongan muda,” kata Shariff.

Tiada ulasan: