Rabu, 9 Disember 2009

Hapus birokrasi Tekun

Hapus birokrasi Tekun


KERENAH birokrasi seperti syarat menyediakan kertas kerja oleh usahawan kecil bagi permohonan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) akan dihapuskan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata langkah itu bagi memastikan tidak timbul kesulitan kepada peniaga terutama yang hanya ingin meminjam RM500.

“Saya akan berbincang mengenai perkara ini (mengurangkan kerenah birokrasi) dan kita akan buat sebaik dan semudah mungkin untuk rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mojigoh bertanya mengenai langkah akan dilakukan kementerian bagi mengatasi masalah usahawan kecil kurang berpelajaran yang disyaratkan membuat kertas kerja ketika memohon pinjaman Tekun yang menyediakan pembiayaan antara RM500 dan RM50,000.
Rohani berkata, dakwaan kononnya peniaga susah mendapatkan borang Tekun yang kini diberi percuma harus disertakan dengan bukti.
“Borang boleh diperoleh di pejabat Tekun di setiap kawasan Parlimen dan permohonan boleh dibuat tanpa cagaran dan penjamin.

“Jika wujud kes borang susah untuk dapat atau perlu dibayar, mereka yang membuat dakwaan perlu beri maklumat kepada kementerian supaya kita dapat melakukan siasaran dan pembaikan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga 31 September tahun ini, 188,708 pembiayaan bernilai RM1.385 bilion dikeluarkan menerusi Tekun kepada 150,988 usahawan di seluruh negara.

“Daripada jumlah ini, 31,716 usahawan mendapat pembiayaan ulangan RM433.84 juta,” katanya.

Beliau berkata, Tekun Nasional tidak mengehadkan jumlah kali pinjaman yang boleh diluluskan kepada seseorang usahawan.

Katanya, ada di kalangan usahawan yang menerima pinjaman Tekun sebanyak enam kali. - Bernama

Tiada ulasan: