Memaparkan catatan dengan label Usahawan Kerjaya Pilihan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Usahawan Kerjaya Pilihan. Papar semua catatan

Rabu, 9 Disember 2009

Usahawan kek sedia peluang kerja


Usahawan kek sedia peluang kerja

PASIR PUTEH - Kewujudan kedai kek yang meningkat maju di bandar ini memberi manfaat apabila menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pengurus RKH Trading (Citamas Cake), Roussilawati Kartini Hassan berkata, berdasarkan sambutan yang semakin memberangsangkan ketika ini, beliau menawarkan peluang pekerjaan kepada pembuat roti dan kek yang berpengalaman.

Katanya, pekerja berpengalaman membantu perniagaannya yang mencatatkan rekod baik sejak beroperasi pada Februari 2008.

“Komitmen kami ternyata mendapat pengiktirafan apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengeluarkan sijil halal kepada syarikat kami pada 30 Julai lalu.

“Penilaian yang dibuat Majlis Daerah Pasir Puteh dengan memberi gred A atau amat bersih kepada kedai kami juga merupakan gambaran bahawa kami mengutamakan kebersihan,” katanya.

Roussilawati berkata, pelbagai kek yang dihasilkan seperti kek pisang dan cokelat ‘Moist’ kini dipasarkan seluruh Kelantan termasuk ke semua Pasaraya Econjaya.

Sehubungan itu katanya, beliau memerlukan pekerja yang benar-benar berminat di samping pengalaman dalam bidang berkaitan.

“Setakat ini kami mempunyai 10 pekerja yang membantu menyediakan bahan untuk kek dan roti, mereka diberi pengawasan demi menjaga mutu produk,” katanya ketika ditemui di premisnya di Lot 164, Bangunan Rumah Kedai D’Mara di sini, semalam.

Usahawan bimbingan Kada ini bermula dengan mengusahakan kek secara kecil-kecilan sehingga perniagaannya berkembang maju dalam masa singkat selepas produk yang dihasilkan mendapat sambutan di luar dugaan.

Citamas Cake katanya, membimbing ramai remaja yang berminat dalam bidang kek dan pastri sama ada di premis miliknya atau ketika menjadi tenaga pengajar untuk Latihan Menjana Pendapatan (LMP) seliaan Giat Mara Kelantan.

“Melalui LMP, saya membantu ibu tunggal dan golongan miskin meningkatkan kemahiran membuat kek dan latihan ini dilihat mampu mendorong mereka menjana pendapatan sendiri suatu masa nanti,” katanya.

Minda bisnes

Minda bisnes
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


PENINGKATAN pengangguran di kalangan graduan di negara ini sering dikaitkan dengan sikap mereka yang suka makan gaji berbanding bekerja sendiri.

Namun, sedar atau tidak kebanyakan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) lebih menjurus kepada mentaliti berkenaan.

Justeru, jika mahu graduan bekerja sendiri, berniaga atau menjadi usahawan, kursus yang khusus dalam bidang keusahawanan perlu ditambah atau sebagai mata pelajaran wajib.

Kementerian Pengajian Tinggi juga sedar hakikat itu dengan menyarankan supaya IPT menambah kursus keusahawanan bagi mencambah minat graduan bekerja sendiri.
Tetapi, mengapa Kementerian Pengajian Tinggi baru mahu mengambil usaha itu sedangkan sepatutnya ia sudah lama diterapkan?
Adakah kursus yang ditawarkan di IPT kini tidak memberi jaminan pekerjaan kepada pelajar sehingga menyumbang kepada peningkatan bilangan penganggur?

Tetapi, dengan penerapan subjek keusahawanan di semua bidang pengajian, adakah ia membantu pelajar?

Mampukah mereka menjadi usahawan dengan bidang

yang diambil terutama dalam kejuruteraan dan penyelidikan?

Pensyarah Bidang Keusahawanan dan Pengkomersialan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Habshah Bakar, berkata peluang pekerjaan menerusi bidang yang ditawarkan IPT bukan tidak memberi jaminan pekerjaan, tetapi ia tidak mencukupi.

Dari sektor kerajaan misalnya, tidak banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kerana jumlah jawatan yang ditawarkan sedikit.

"Setiap tahun, jumlah pelajar yang menamatkan pengajian bertambah dan masing-masing mencari pekerjaan menerusi bidang kelulusan yang mereka peroleh.

"Jumlah pelajar lebih ramai berbanding peluang pekerjaan yang ditawarkan dan ini meningkatkan jumlah pengangguran.

"Jadi, dengan penerapan subjek keusahawanan di semua bidang yang ditawarkan di IPT, ia memberi mereka peluang dan pilihan menentukan kerjaya selepas menamatkan pengajian," katanya.

Dengan penerapan subjek ini, katanya, universiti memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang perniagaan yang mereka boleh jalankan nanti.

"Malaysia bukanlah sebuah negara yang besar dan pastinya peluang pekerjaan terutama dalam bidang tertentu adalah terhad.

"Justeru, dengan pendedahan terhadap keusahawanan, pelajar ada banyak pilihan dalam kerjaya.

"Pelajar juga dapat melihat kemampuan mereka dalam menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh di universiti berbanding pekerjaan makan gaji," katanya.

Menurutnya, walaupun pelajar mengambil pelbagai bidang pengajian di universiti seperti kejuruteraan, perubatan ataupun bioteknologi, jika mempunyai ilmu keusahawanan, mereka boleh memperluaskan skop kerjaya.

"Dalam ilmu keusahawanan, mereka mempelajari asas keusahawanan, siapa itu usahawan, apakah ciri-ciri seorang usahawan dan macam mana nak cari idea untuk menjalankan sesuatu perniagaan?

"Mereka turut didedahkan pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran.

"Ilmu ini membolehkan mereka melihat peluang dalam perniagaan yang boleh diceburi kelak," katanya.

Sejak 1984, UUM banyak memberi pendedahan keusahawanan kepada pelajar dan menyediakan persekitaran perniagaan untuk mereka.

Di UUM, Kolej Perniagaan menawarkan 15 program dalam keusahawanan.

"Pada mulanya, keusahawanan ini adalah subjek pilihan, tetapi sejak 1993, ia menjadi subjek wajib kepada pelajar ijazah pentadbiran perniagaan (BBA).

"Kini, subjek itu diajar di semua fakulti sebelum kementerian mahu subjek itu diterapkan di semua bidang di IPTA," katanya.

Selain pendedahan teori dalam keusahawanan, UUM turut menggalakkan pelajarnya mempraktikkan ilmu yang diajar dengan menyediakan pelbagai program kepada mereka.

"Menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, pelajar berpeluang mengikuti kursus yang dikendalikan pensyarah dari UUM atau universiti luar.

"Mereka juga berpeluang menjalankan perniagaan di kolej kediaman yang dipantau dekan.

"Penganjuran program Siswa Niaga adalah langkah bagi menggalakkan pelajar menjadi usahawan kerana mereka berpeluang menubuhkan syarikat sendiri," katanya.

Katanya, kajian mendapati ramai pelajar setuju universiti perlu menambah kursus keusahawanan yang kini ditawarkan di IPTA," katanya.

Sementara itu, Ketua Program Keusahawanan Sekolah Pengurusan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mat Salleh Ayob, berkata budaya keusahawanan itu sudah wujud di universiti, tetapi tidak di tonjolkan.

"Budaya keusahawanan memang ada di universiti, namun sesetengahnya tidak berapa diketengahkan.

"Budaya keusahawanan ini juga diselaraskan di IPTA dan ia dipantau Majlis Keusahawanan Universiti-Universiti Malaysia (Makmum)," katanya.

Justeru, dengan saranan kementerian itu, segala perancangan yang kini dalam proses pelaksanaan akan dimantapkan dan berjalan lebih aktif.

"Ia juga adalah satu pengiktirafan kepada subjek ini yang kini setaraf dengan bidang lain seperti perakaunan," katanya.

Berhenti kerja gaul coklat

Berhenti kerja gaul coklat
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my



BUKAN mudah untuk seseorang melepaskan jawatan bertaraf eksekutif dengan gaji bulanan agak selesa semata-mata untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan, namun ia tidak menjadi halangan buat Norhatina Abdul Rauf.

Usahawan berusia 41 tahun ini melepaskan jawatannya di sebuah kilang elektronik di Senawang, Negeri Sembilan bagi memenuhi impiannya untuk membabitkan diri sepenuh masa dalam bidang perniagaan pembuatan coklat dengan menggunakan jenama Haniez's.

Walaupun sebelum ini tiada pengalaman dalam bidang perniagaan berkenaan, dia memberanikan diri selepas melihat potensi bidang terbabit untuk berkembang maju berdasarkan penguasaan bangsa asing.

Dengan modal RM30,000 hasil simpanan selama berkhidmat beberapa tahun di kilang terbabit serta berbekalkan semangat serta dorongan kuat ahli keluarga, Norhatina menubuhkan syarikat Seri Umairah Food & Beverages Sdn Bhd pada Mei tahun lalu untuk memulakan langkah awal.
Usahawan kelahiran Perak itu kini menjalankan perniagaannya dengan menyewa bahagian bawah sebuah rumah kedai di Taman Rasa Sayang, Senawang, sebagai pejabat dan tempat memproses coklat.
Menurutnya, modal itu digunakan untuk menyewa premis dan membeli beberapa peralatan memproses coklat. Bahan mentah pula diperoleh menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) serta syarikat pembekal coklat di Klang, Selangor.

"Saya akui tiada pengalaman dalam bidang ini, tetapi memberanikan diri kerana cemburu dengan kejayaan orang lain terutama bangsa asing yang berjaya. Justeru, saya merasakan orang Melayu perlu berani meneroka sesuatu bidang baru bagi memastikan produk yang dikeluarkan lebih terjamin.

"Setakat ini, saya memerlukan antara 150 hingga 200 kilogram bahan mentah coklat sebulan untuk diproses. Keluaran coklat itu kemudian dipasarkan bagi pasaran tempatan kerana belum mampu mengeluarkan lebih banyak berikutan cara memproses dan membungkus coklat dilakukan secara manual," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norhatina berkata, setakat ini syarikatnya mengeluarkan lebih 20 jenis coklat pelbagai bentuk dan saiz yang memberikan kelainan dari segi kualiti serta rasa berbanding coklat jenama lain di pasaran.

Menurutnya, antara produk itu ialah jenis coklat praline, truffle, mufin, kek cawan dan coklat blok serta minuman coklat.

"Syarikat juga menyediakan perkhidmatan penyediaan cenderamata untuk majlis perkahwinan atau sebarang keramaian anjuran jabatan kerajaan mahupun swasta atau individu dalam bentuk barangan coklat mengikut pilihan pelanggan," katanya yang dibantu tiga pekerja sepenuh masa.

Katanya, pihaknya dalam perancangan untuk membeli mesin bersaiz besar bagi membolehkan lebih banyak pengeluaran produk coklat dalam sehari kerana sehingga kini permintaan daripada pelanggan amat memberangsangkan.

"Sehingga kini, produk saya dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah menerusi rangkaian pemasaran termasuk melalui kerjasama beberapa rakan niaga.

"Ia dipasarkan di tapak ekspo dan promosi dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.

Ibu kepada dua anak berusia lapan dan sembilan tahun ini mengakui bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan kerana pandangan orang ramai terhadap produk coklat tempatan berbeza dengan produk coklat keluaran luar negara.

Namun, dia tetap yakin dengan potensi perniagaan itu apabila sambutan pelanggan meningkat selain mendapat sokongan Fama serta LKM termasuk pengetahuan dari segi pengurusan dan kemahiran menghasilkan coklat bermutu tinggi.

"Alhamdulillah, setakat ini perniagaan terus berkembang dengan baik dan memberangsangkan.

"Sebagai persediaan masa depan, saya berhasrat untuk membuka kilang dan mengeluarkan bukan saja lebih banyak jenis coklat, malah dalam kuantiti yang banyak bagi memenuhi permintaan termasuk kemungkinan mengintai peluang memasarkannya di luar negara suatu hari nanti.

"Saya ingin membuktikan bahawa wanita juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan dan kalau boleh ingin berada sebaris dengan usahawan wanita lain yang sudah berjaya," katanya yang merakamkan penghargaan kepada LKM yang banyak membantu termasuk mengadakan promosi di luar negara seperti di London.

Celcom bantu UUM lahirkan usahawan berjaya

Celcom bantu UUM lahirkan usahawan berjaya



Najmuddin Abdullah (kanan) meletakkan tangan pada bebola kaca khas bagi merasmikan Majlis Pelancaran Praktikum Keusahawanan UUM-PUNB-Celcom di Sintok, kelmarin. - gambar ihsan UUM.
________________________________________

SINTOK 7 Dis. - Celcom (M) Berhad sentiasa memberi sokongan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi pelbagai program keusahawanan inovatif yang ditawarkan bagi melahirkan usahawan berjaya di kalangan para pelajar.

Naib Presiden Komunikasi Korporat Celcom, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, sokongan serta kerjasama yang diberikan itu penting supaya pihak IPT dapat melahirkan lebih ramai usahawan atau majikan pada masa akan datang.

Kata beliau, UUM, sebuah universiti yang aktif mempromosikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dan mencipta senario baru di kalangan pelajar yang berhasrat berhasrat untuk menjadi majikan, bukannya sebagai pekerja.

"Saya pasti sekiranya semua universiti mempunyai arah tuju begini, tidak akan ada pelajar yang menganggur apabila mereka dilatih untuk menjadi majikan yang serba boleh," katanya sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Praktikum Keusahawanan UUM-PUNB-Celcom yang berlangsung di sini, semalam.

Menurut beliau, Celcom merupakan sebuah syarikat telekomunikasi yang dinamik dengan menawarkan produk inovatif pada harga yang kompetitif untuk memberikan saingan sengit dalam industri telekomunikasi Malaysia.

Jelas Najmuddin, PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) telah memulakan Program Siswazah Perantis PUNB yang bertujuan membantu golongan siswazah bumiputera mendalami selok-belok perniagaan melalui latihan di syarikat naungannya (Mentor).
"Biasanya, setelah tamat pengajian, graduan berdepan dengan masalah untuk mendapatkan idea perniagaan yang baik dan modal yang mencukupi selain kurang pengalaman dan keyakinan diri," katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, satu mekanisme telah dibentuk dalam usaha melahirkan usahawan anjuran Kolej Perniagaan UUM (UUM COB) dengan kerjasama PUNB dan Celcom membabitkan 33 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

Sementara itu, Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan UUM COB, Prof. Madya Dr. Kamil Md. Idris berkata, program itu diadakan untuk menempatkan pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan menjalani praktikum di bawah Program Usahawan Perantis PUNB untuk melahirkan usahawan telekomunikasi Celcom.
"Mereka akan menjalani latihan asas selama dua minggu di UUM sebelum ditempatkan di syarikat telekomunikasi Celcom sekitar utara termasuk Pulau Pinang, Perak dan Kedah selama enam bulan.

"Dalam tempoh itu, mereka akan didedahkan dengan cara pengendalian kedai telekomunikasi Celcom sebagai persediaan untuk mereka membuka perniagaan sendiri apabila menamatkan praktikum," kata beliau.