Minda bisnes
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
PENINGKATAN pengangguran di kalangan graduan di negara ini sering dikaitkan dengan sikap mereka yang suka makan gaji berbanding bekerja sendiri.
Namun, sedar atau tidak kebanyakan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) lebih menjurus kepada mentaliti berkenaan.
Justeru, jika mahu graduan bekerja sendiri, berniaga atau menjadi usahawan, kursus yang khusus dalam bidang keusahawanan perlu ditambah atau sebagai mata pelajaran wajib.
Kementerian Pengajian Tinggi juga sedar hakikat itu dengan menyarankan supaya IPT menambah kursus keusahawanan bagi mencambah minat graduan bekerja sendiri.
Tetapi, mengapa Kementerian Pengajian Tinggi baru mahu mengambil usaha itu sedangkan sepatutnya ia sudah lama diterapkan?
Adakah kursus yang ditawarkan di IPT kini tidak memberi jaminan pekerjaan kepada pelajar sehingga menyumbang kepada peningkatan bilangan penganggur?
Tetapi, dengan penerapan subjek keusahawanan di semua bidang pengajian, adakah ia membantu pelajar?
Mampukah mereka menjadi usahawan dengan bidang
yang diambil terutama dalam kejuruteraan dan penyelidikan?
Pensyarah Bidang Keusahawanan dan Pengkomersialan Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Habshah Bakar, berkata peluang pekerjaan menerusi bidang yang ditawarkan IPT bukan tidak memberi jaminan pekerjaan, tetapi ia tidak mencukupi.
Dari sektor kerajaan misalnya, tidak banyak peluang pekerjaan dapat disediakan kerana jumlah jawatan yang ditawarkan sedikit.
"Setiap tahun, jumlah pelajar yang menamatkan pengajian bertambah dan masing-masing mencari pekerjaan menerusi bidang kelulusan yang mereka peroleh.
"Jumlah pelajar lebih ramai berbanding peluang pekerjaan yang ditawarkan dan ini meningkatkan jumlah pengangguran.
"Jadi, dengan penerapan subjek keusahawanan di semua bidang yang ditawarkan di IPT, ia memberi mereka peluang dan pilihan menentukan kerjaya selepas menamatkan pengajian," katanya.
Dengan penerapan subjek ini, katanya, universiti memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar berkaitan bidang perniagaan yang mereka boleh jalankan nanti.
"Malaysia bukanlah sebuah negara yang besar dan pastinya peluang pekerjaan terutama dalam bidang tertentu adalah terhad.
"Justeru, dengan pendedahan terhadap keusahawanan, pelajar ada banyak pilihan dalam kerjaya.
"Pelajar juga dapat melihat kemampuan mereka dalam menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang diperoleh di universiti berbanding pekerjaan makan gaji," katanya.
Menurutnya, walaupun pelajar mengambil pelbagai bidang pengajian di universiti seperti kejuruteraan, perubatan ataupun bioteknologi, jika mempunyai ilmu keusahawanan, mereka boleh memperluaskan skop kerjaya.
"Dalam ilmu keusahawanan, mereka mempelajari asas keusahawanan, siapa itu usahawan, apakah ciri-ciri seorang usahawan dan macam mana nak cari idea untuk menjalankan sesuatu perniagaan?
"Mereka turut didedahkan pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran.
"Ilmu ini membolehkan mereka melihat peluang dalam perniagaan yang boleh diceburi kelak," katanya.
Sejak 1984, UUM banyak memberi pendedahan keusahawanan kepada pelajar dan menyediakan persekitaran perniagaan untuk mereka.
Di UUM, Kolej Perniagaan menawarkan 15 program dalam keusahawanan.
"Pada mulanya, keusahawanan ini adalah subjek pilihan, tetapi sejak 1993, ia menjadi subjek wajib kepada pelajar ijazah pentadbiran perniagaan (BBA).
"Kini, subjek itu diajar di semua fakulti sebelum kementerian mahu subjek itu diterapkan di semua bidang di IPTA," katanya.
Selain pendedahan teori dalam keusahawanan, UUM turut menggalakkan pelajarnya mempraktikkan ilmu yang diajar dengan menyediakan pelbagai program kepada mereka.
"Menerusi Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, pelajar berpeluang mengikuti kursus yang dikendalikan pensyarah dari UUM atau universiti luar.
"Mereka juga berpeluang menjalankan perniagaan di kolej kediaman yang dipantau dekan.
"Penganjuran program Siswa Niaga adalah langkah bagi menggalakkan pelajar menjadi usahawan kerana mereka berpeluang menubuhkan syarikat sendiri," katanya.
Katanya, kajian mendapati ramai pelajar setuju universiti perlu menambah kursus keusahawanan yang kini ditawarkan di IPTA," katanya.
Sementara itu, Ketua Program Keusahawanan Sekolah Pengurusan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mat Salleh Ayob, berkata budaya keusahawanan itu sudah wujud di universiti, tetapi tidak di tonjolkan.
"Budaya keusahawanan memang ada di universiti, namun sesetengahnya tidak berapa diketengahkan.
"Budaya keusahawanan ini juga diselaraskan di IPTA dan ia dipantau Majlis Keusahawanan Universiti-Universiti Malaysia (Makmum)," katanya.
Justeru, dengan saranan kementerian itu, segala perancangan yang kini dalam proses pelaksanaan akan dimantapkan dan berjalan lebih aktif.
"Ia juga adalah satu pengiktirafan kepada subjek ini yang kini setaraf dengan bidang lain seperti perakaunan," katanya.
Rabu, 9 Disember 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan