Selasa, 29 Julai 2008

Caj Perkhidmatan Tekun Diturunkan Daripada 8 % Kepada 4% Mulai 1 Ogos

Caj Perkhidmatan Tekun Diturunkan Daripada 8 % Kepada 4% Mulai 1 Ogos


BUTTERWORTH, 26 Julai (Bernama) -- Caj perkhidmatan pinjaman Tekun Nasional akan diturunkan daripada lapan peratus kepada empat peratus setahun mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, penurunan kadar itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung usahawan yang membuat pinjaman Tekun untuk menjalankan projek perniagaan mereka.

Katanya, selama ini Tekun Nasional menggunakan caj perkhidmatan itu untuk operasi pentadbiran dan membayar gaji 900 kakitangannya di lebih 190 cawangan di seluruh negara.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pembangunan Usahawan (Business Center) dan pejabat Tekun Nasional kawasan Parlimen Tasek Gelugor di Taman Sri Murni, Sungai Dua di sini, beliau berkata kerajaan akan memberikan geran sebanyak RM20 juta kepada Tekun Nasional untuk membiayai operasi mereka.

Menurutnya, adalah wajar caj perkhidmatan itu dikurangkan kerana Mara, yang terletak di bawah Kementerian yang sama iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, juga mengenakan caj hanya empat peratus setahun.

Sejak tahun 1999, Tekun Nasional, yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun, telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM893 juta kepada 147,546 usahawan.

Nor Mohamed juga meminta bank-bank komersil supaya memudahkan proses pinjaman bagi membantu golongan usahawan menjana pulangan ekonomi yang lebih baik terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berkata, bank berkenaan juga tidak harus meletakkan pelbagai syarat yang menyulitkan usahawan yang hendak berdikari sebaliknya memudahkan proses memberi pinjaman terutamanya kepada projek-projek yang berdaya maju (viable).

"Mereka juga harus memberi kelonggaran kepada usahawan untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman agar perniagaan tidak tergendala dan mengurangkan risiko peminjam tidak membayar hutang mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional , Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, daripada RM160 juta pinjaman yang disasarkan tahun ini, sebanyak RM120 juta telah diagihkan sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, pinjaman tidak berbayar (NPL) Tekun setakat ini ialah 20 peratus.

Petikan:-- BERNAMA

1 ulasan:

M.Hasmizal berkata...

salam...ini berita baik kepada peminjam/bakal peminjam tekun nasional...

Semoga perniagaan orang kita semakin berkembang..