Jumaat, 12 Februari 2010

Awasi usahawan 'dahaga darah'

Kunta-kinte: Awasi usahawan 'dahaga darah'
http://www.bharian.com.my



MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap sikit pasal sikap orang Melayu terhadap perniagaan dan persaingan maut yang dituntut oleh usahawan bukan Bumiputera. Dulu, masa bilangan usahawan Melayu ramai, banyaklah orang iri hati dan tuduh mereka macam-macam - kroni, rasuah, tamak, tangkai jering dan Haji Bakhil.

Tapi orang yang buat tuduhan tu tak pula ambil hal bila usahawan Melayu bagi derma, bagi sedekah, buat masjid dan surau, buka kelas tahfiz dan hantar orang susah pergi haji.

Sekarang bila usahawan Melayu yang berjaya dah tak ramai sebab banyak perniagaan mereka dah diambil alih oleh GLC, banyaklah pula bersungut susah dapat derma, kelas tahfiz kena tutup dan surau tak siap.

GLC bukan macam usahawan Melayu. Pengurus GLC tak boleh bagi derma sesuka hati sebab kompeni yang mereka urus tu bukan hak mereka. Sekarang ni pasal usahawan Melayu dah kurang tapi usahawan Cina dan India tambah ramai, maka suara merekalah yang selalu kita dengar. Bila kita dengar, kerajaan pun dengar jugalah.

Pada 8 Februari lalu, Kunta Kinte dengar pewaris syarikat raksasa YTL Corporation, Tan Sri Francis Yeoh kata wajib diwujudkan suasana persaingan yang 'brutal' dalam dunia perniagaan Malaysia.

Dia kata macam tu masa berucap di Persidangan Ekonomi 1Malaysia yang dibuka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dalam bahasa Inggeris, antara makna 'brutal' adalah kejam, dahagakan darah, tak berhati perut, tak berperikemanusiaan, tak timbang rasa dan tak bertamadun.

Dalam erti kata yang mudah, Yeoh mahu wujud suasana persaingan di mana yang kuat boleh sesuka hati buat kejam ke atas yang lemah. Yeoh kata kerajaan wajib bantu orang miskin tapi dia mahu kerajaan tarik balik subsidi. Dia kata kerajaan tak patut jadi 'big brother' (Abang Sulung) tempat bergantung.

Kunta Kinte pening. Kalau kita tak boleh bergantung kepada kerajaan yang kita undi, buat apa susah-susah pilih kerajaan dan buat apa bayar cukai? Usahawan yang berfikir macam Yeoh ni ramai. Kalau boleh, mereka mahu segala peraturan, arahan dan sekatan dihapuskan. Dalam bahasa ekonomi, suasana ini dipanggil laissez-faire.

Anehnya, usahawan bukan Melayu macam Yeoh tidak pula cakap pasal bantuan yang mereka terima daripada kerajaan. Boleh kata semua usahawan Cina dan India yang berjaya macam Yeoh terima bantuan kerajaan. Tapi ramai orang Melayu tak tahu sebab malas baca dan tak suka selidik.

'Raja Gula' Robert Kuok jadi kaya raya kerana francais gula. Monopoli ni mula zaman bapa dia, Kouk Keng Kang, lagi. Pada zaman Inggeris, beras dan gandum pun mereka monopoli juga.

Ananda Krishnan kaya kerana lesen judi dan lumba kuda, telekomunikasi, penswastaan padang lumba kuda Jalan Ampang yang jadi KLCC dan caruman modal kerajaan.

Keluarga mendiang Tan Sri Lim Goh Tong kerana lesen kasino dan tanah di Genting Highlands. Tan Sri Tiong Hiew King, tauke surat khabar Sin Chew, kerana konsesi balak di Lembah Baram, Sarawak.

Tan Sri Vincent Tan kerana penswastaan Sports Toto, tanah di Bukit Kiara dan Bukit Tinggi. Datuk Tan Chin Nam pemaju Mid Valley kerana kontrak rumah murah zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman dan pajakan tanah Bandaraya Kuala Lumpur.

Malah keluarga Yeoh sendiri jadi kaya raya kerana kontrak bina sekolah dan hospital, konsesi loji penjana elektrik, perkongsian dengan Syarikat Perumahan Negara dan tanah Keretapi Tanah Melayu di Sentul.

Kalau kerajaan ikut cakap Yeoh, tinggallah sekerat dua usahawan dan peniaga Melayu macam Tan Sri Syed Mokhtar, Tan Sri Azman Hashim dan Datuk Mokhzani Mahathir. Itu tak tentu lagi. Yang lain kena gulung tikar atau jadilah rumput di tengah jalan, hidup segan mati tak mahu.

Khamis, 31 Disember 2009

MInda: Usahawan ibu tunggal

MInda: Usahawan ibu tunggal
Tan Sri Mohd Ali Hashim
Harian Metro 31/12/09

MINGGU lalu saya menulis persoalan dan masalah sering dihadapi seseorang yang mahu menceburi bisnes. Mereka yang bercita-cita melangkah ke alam bisnes sentiasa berdepan cabaran dan masalah asas, terutama memenuhi keperluan modal memulakan perniagaan.

Di bawah sistem ekonomi kapitalis, keperluan modal yang disampaikan melalui sistem perbankan komersial tidak dapat membantu memenuhi keperluan peniaga baru apatah lagi dengan sistem konvensional berasaskan riba yang menekan dan membebankan peminjam.

Dalam sistem ini, peniaga kecil tidak mendapat pembelaan, malah kerap terperangkap dalam ikatan dan beban hutang berpanjangan dengan pihak bank dan peminjam lain.

Saya ingin berkongsi dua kisah mengenai cara alternatif bagaimana peniaga kecil yang hendak berniaga boleh dibantu menerusi kemudahan Waqaf Dana Niaga yang disediakan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) di bawah kelolaan Johor Corporation (JCorp).
Cerita pertama mengenai Norziah, seorang ibu tunggal berusia 44 tahun dari Pasir Gudang, Johor, kehidupannya terhimpit selepas ditinggalkan suami kira-kira 10 tahun lalu.
Namun, minatnya terhadap bisnes dan menyara 10 anaknya, dia nekad menjalankan bisnes kecil-kecilan.

Tetapi, kekurangan modal dan keperluan wang untuk persekolahan anak-anaknya, dia terperangkap dengan pinjaman along. Hidupnya diburu hutang dan lebih perit apabila bekas suami sering mengganggunya.

Cerita kedua mengenai ibu tunggal berusia 43 tahun, Zulina yang mengambil upah menjahit dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan untuk menyara lima anak masih bersekolah.

Dia berusaha mencari peluang menambah pendapatan demi keselesaan hidup keluarganya. Berbekalkan sedikit simpanan, dia menjalankan bisnes kecil-kecilan.

Asas bisnes, pertamanya anda memerlukan modal. Jenis bisnes juga menentukan saiz dan skala modal bisnes yang diperlukan.

Sesetengah bisnes memerlukan modal cukup besar kerana peralatan dan perkakas yang digunakan mungkin mahal atau membabitkan teknologi tinggi.

Namun, ahli perniagaan yang mengenal pasti dan memahami bisnes tahu bagaimana dan dari mana mendapatkan semula pulangan daripada modal yang dilaburkan. Justeru, mereka perlu memupuk kemahiran merancang secara strategik dan memahami segala aspek berkaitan bisnes.

Bagi bisnes kecil-kecilan, modalnya mungkin tidak seberapa. Tetapi renungkan, perkataan ‘tidak seberapa’ ini mungkin hanya sesuai bagi yang berkemampuan.

Bagi yang kurang mampu tetapi mempunyai impian menjalankan bisnes, masalah modal permulaan akan membantutkan cita-cita.

Ia membelenggu dan cukup dirasai bagi mereka yang tiada apa-apa untuk disandarkan seperti pendapatan tetap dan stabil, simpanan dan aset yang boleh dicagarkan.

Mereka pasti tidak berpeluang mendapatkan pinjaman bank kerana gagal menepati syarat ketat selain beban kadar faedah tinggi.

Di sinilah biasanya terdapat perangkap kemiskinan yang membelenggu golongan berpendapatan rendah dan terputus mata pencarian.

Jika ini berterusan, mereka yang pendek akal dan berputus asa terpaksa membiarkan hasrat berniaga itu berkubur atau memilih jalan mudah dan singkat iaitu meminjam melalui along!

Akhirnya, peminjam itu seperti menjerut tali ke leher sendiri. Bisnes yang dijalankan belum tentu untung ruginya, tetapi hutang perlu dilangsaikan kepada along.

Banyak berita bagaimana keluarga mereka yang meminjam daripada along hidup porak peranda, dipukul, dicederakan, dikurung, menjadi pelarian, diancam malah dibunuh apabila gagal melunaskan pinjaman. Nyata, ansuran dan kadar faedah yang ditetapkan along amat membebankan.

Atas dasar itulah, JCorp menerusi WANCorp memperkenalkan skim pinjaman mikro menerusi Waqaf Dana Niaga. Melalui skim ini, WANCorp memperuntukkan RM200,000 sebagai dana permulaan melalui peruntukan manfaat fisabilillah Waqaf Korporat JCorp.

Untuk maklumat, Waqaf Korporat JCorp dimulakan pada 3 Ogos 2006 melalui pewakafan saham milik JCorp dalam anak syarikat.

Dengan akad persetujuan di antara JCorp dan Majlis Agama Islam Johor (Maij), saham diwakafkan ini didaftar atas nama WANCorp, syarikat dengan jaminan JCorp yang bertanggungjawab sebagai nazir khas, iaitu mutawwali atau pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskan saham yang diwakafkan.

Daripada dividen diperoleh setiap tahun, lima peratus disalurkan kepada Maij, 25 peratus bagi peruntukan fisabilillah manakala 70 peratus dilaburkan semula.

Sehingga kini, WANCorp menerima lebih RM4.6 juta berbentuk dividen yang menjadi sumber modal WANCorp menjayakan program Waqaf Dana Niaga untuk membiayai keperluan modal permulaan, khasnya peniaga miskin yang ingin berniaga.

Peruntukan fisabilillah itu digunakan bagi pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) lain di bawah JCorp termasuk pengurusan dan pembinaan masjid, rangkaian Klinik Waqaf dan Hospital Waqaf An-Nur dan membiayai keperluan Briged Waqaf yang ditubuhkan khas untuk membantu masyarakat mengatasi bencana.

Di antara objektif utama penubuhan Waqaf Dana Niaga ini bagi membantu usahawan kecil seperti Norziah dan Zulina yang menghadapi masalah pembiayaan bagi memulakan bisnes.

Skim Waqaf Dana Niaga cukup menarik. Ia berkonsepkan Qardul Hassan iaitu skim pinjaman tanpa faedah. Pinjaman maksimum yang ditawarkan RM3,000 seorang, manakala pinjaman minimum RM500.

Syarat kelayakannya dipermudahkan, antaranya peminjam berusia 18 tahun ke atas, warga negara Malaysia, usahawan baru dengan cadangan bisnes berpotensi dan usahawan yang menghadapi masalah kekurangan pusingan modal.

Bisnes yang dijalankan mestilah halal dan sah. Selepas permohonan diterima, WANCorp akan menghantar pegawainya menyelidik latar belakang pemohon dan perniagaan mereka.

Sejak beroperasi pada 5 Mei 2007 sehingga November 2009, seramai 106 peniaga kecil atau mereka yang ingin menceburi bisnes menerima manfaat skim ini dengan pinjaman RM237,350.

Mereka mendapat bimbingan dan dipantau bisnesnya oleh eksekutif JCorp.

Setiap peminjam diberikan pelan pembayaran balik secara ansuran yang tidak membebankan untuk tempoh maksimum 24 bulan (bergantung kepada jumlah pinjaman).

Paling menarik adalah mereka tidak dikenakan sebarang faedah bagi pinjaman ini. Ia pasti alternatif bagi membanteras kegiatan along dan membasmi kemiskinan.

Mereka yang diberi keutamaan mendapatkan manfaat skim ini ialah ibu tunggal dan suri rumah. Daripada jumlah peminjam, 22 orang (21 peratus) terdiri daripada golongan ini.

Alhamdulillah, ada di kalangan mereka kini berjaya memulakan bisnes. Walaupun kecil-kecilan, mereka mampu berdikari menyara keluarga dengan bisnes.

Dua kisah ibu tunggal yang saya ceritakan ini adalah antara contoh penerima manfaat Waqaf Dana Niaga ini.

Seorang daripadanya kini memulakan bisnes katering dan menerima pendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Seorang lagi terpilih untuk menjadi usahawan Sudut Ayamas di bawah bimbingan KFC Holdings (Malaysia) Bhd bermula pada November 2009 dengan modal daripada Waqaf Dana Niaga.

Dalam dua bulan, peniaga ibu tunggal kedua ini mendapat jualan bersih lebih RM3,200 dengan pendapatan bersih lebih RM600 sebulan!

Prinsip diamalkan ialah memberi ‘joran’ untuk belajar mengail sendiri dan bukan ‘ikan’ mudah dan murah.

Disebabkan dana pinjaman ini daripada sumber wakaf, maka WANCorp memastikan pengurusan skim ini dilaksanakan secara Islamik.

Setiap serahan pinjaman dilaksanakan di masjid di bawah pengurusan JCorp dan memerlukan lafaz akad pemberi dan penerima pinjaman. WANCorp diwakili eksekutif agama atau imam JCorp.

Begitulah contoh peranan institusi wakaf dalam pembangunan ekonomi, terutama dalam konteks masyarakat Muslim daripada golongan bawahan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan menerusi bisnes.

Ketika zaman kegemilangan Islam, banyak sistem wakaf membantu membela kepentingan ummah.

Melalui Waqaf Dana Niaga ini, kita akan memperkenalkan pembaharuan kepada institusi wakaf – membasmi kemiskinan dan kefakiran yang membelenggu masyarakat.

Dunyahalal.com portal Islam pertama Malaysia


Dunyahalal.com portal Islam pertama Malaysia
Sinar Harian : 31/12/09


Dunyahalal.com menjadi portal Islam pertama di negara ini apabila menekankan gaya hidup Islam dengan melihat ekonomi dunia diterajui produk halal, sekali gus membuka ruang memperluaskan rangkaian perniagaan dalam kalangan masyarakat Muslim.

Menurut satu kenyataan INZ Padu Corporation Sdn Bhd, portal itu dilancarkan pada Ogos lalu berteraskan info dan ilmiah Islam serta halal elektronik dagang.

“Ia bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai khususnya umat Islam di negara ini dan seluruh dunia,” katanya.

Portal Islam tersebut mendapat sokongan pautan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Pahang, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Kelantan.

Ini temasuk Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Wakaf Malaysia, Kementerian Pelancongan, Institut Latihan Islam Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia bagi membolehkan pembaca atau pelayar mendapat maklumat tambahan mengenai sesuatu perkara.

Dunyahalal.com dipersembahkan melalui dua seksyen iaitu bahagian pertama berkaitan info dan ilmiah Islam, mengetengahkan lapan menu utama iaitu Islam, famili, masyarakat, gaya hidup, pelancongan, pendidikan, direktori halal dan informasi serta mengandungi bahan bacaan berbentuk santai.

Bahagian kedua pula dikhaskan untuk E-Dagang merangkumi dua menu iaitu diskaun dan iklaneka.

INZ Padu Corporation sedang merancang menjadikan portal Dunyahalal.com sebagai ensiklopedia elektronik halal Malaysia pertama.

DPMM tumpu bandar kecil

DPMM tumpu bandar kecil
Sinar Harian : 31/12/09

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menumpukan bandar kecil di setiap zon bagi menganjurkan Festival Pembangunan Usahawan Melayu yang akan bermula dari Januari hingga Jun tahun depan.

Presidennya, Syed Ali Alattas berkata, ia bertujuan membantu dan melonjakkan potensi usahawan setempat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) Melayu ke peringkat nasional.

Menurutnya, produk dan perkhidmatan yang bakal dipamerkan terdiri daripada pelbagai segmen dengan menekankan produk halal.

“Festival Pembangunan Usahawan Melayu mensasarkan kehadiran 10,000 pengunjung setiap hari pada setiap festival.

“Ia membabitkan lima zon iaitu Selatan, Utara, Timur, Tengah dan Sabah,” katanya pada taklimat media mengenai festival itu di Kuala Lumpur, semalam.

Festival Pembangunan Usahawan Melayu adalah program pertama anjuran DPMM tahun depan menghimpunkan pelbagai pihak seperti kementerian, jabatan persekutuan dan negeri, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan usahawan Melayu.

Ia turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti seminar bimbingan usahawan, dan sesi pemadanan perniagaan.

Ia turut membabitkan pelancaran produk serta demonstrasi produk dan perkhidmatan usahawan.

Festival julung kali diadakan itu akan bermula di zon Selatan dari 8 Januari hingga 10 Januari tahun depan di Muar, Johor.

Ia membabitkan 80 gerai disediakan DPMM sebagai peluang kepada usahawan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan.

Syed Ali berkata, DPMM mensasarkan seramai 200 usahawan menyertai setiap festival, namun ia bergantung kepada lokasi.

Bagaimanapun beliau berkata, DPMM terpaksa menghadkan penyertaan kepada 80 usahawan bagi Zon Selatan kerana lokasi agak kecil.

“Justeru, kami berharap supaya kerajaan dapat membina dewan pameran lebih besar di setiap daerah pada masa akan datang bagi memberi kemudahan kepada pelbagai pihak menganjurkan pameran untuk semua.

“Kemudahan seumpama itu dijangka membantu rancangan kami menganjurkan festival ini di setiap negeri pada 2011,” kata Syed Ali.

DPMM masih membuka penyertaan kepada usahawan setempat yang berminat menyertai Festival Pembangunan Usahawan Melayu di zon Utara, Tengah, Timur dan Sabah.

Mereka boleh menghubungi DPMM pusat atau DPMM negeri untuk pertanyaan lanjut.

Beza peniaga kita dengan peniaga di Padang

Beza peniaga kita dengan peniaga di Padang
- ABD JALIL ALI
Sinar Online 31/12/09

genap tiga bulan setelah dilanda gempa, kota Padang sedang merangkak untuk pulih. Beberapa bangunan utama – antaranya Hotel Ambacang di tengah pusat bandar – yang dulu ranap, kini sedang diratakan jentolak untuk dibangunkan semula. Bangunan pejabat-pejabat kerajaan yang dulu retak, kini sedang diperbaiki.

Tetapi ternyata tidak mudah untuk mengembalikan bandar itu dalam keadaan asal, sebab ia akan menelan biaya amat besar yang di luar kemampuan kerajaan untuk membantu. Hakikatnya ialah ledakan bumi berukuran 7.6 skala Richter jam lima petang 30 September itu meranapkan hampir keseluruhan bandar pelancongan itu.

Gegaran kuat selama tidak lebih tiga minit itu mengakibatkan kemusnahan yang begitu tragis: Lebih 80,000 rumah kediaman rosak teruk, 172 bangunan hancur, 155 rumah ibadat – kebanyakannya masjid – ditelan bumi. Jumlah kematian rasmi yang dicatat ialah 605 orang, tidak termasuk kira-kira seribu yang masih tidak ditemui kerana tertimbus runtuhan.

Sementara ada bangunan dan pejabat yang mula diperbaiki atau dibina semula setelah mendapat pampasan dari pihak insurans, rata-rata masih tidak berusik sebab tidak ada wang untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih. Pendek kata Padang masih berstatus ‘padang jarak padang tekukur’, tanpa diketahui bila akan pulih dalam betuk asal.

Berada di sana pada hari ketiga gempa, saya melihat suasana sedih dan tangisan manusia kerana rumah mereka ranap. Ada ibu yang berteleku di atas runtuhan, menangisi anak-anak yang tidak diketahui nasibnya di bawah runtuhan. Kerja-kerja menyelamat dari pasukan antarabangsa dilakukan sepanjang 24 jam, tetapi dengan kehancuran yang begitu teruk, tangan tidak cukup untuk membantu.

Berada semula di kota itu awal minggu lalu, saya merasa suasana yang lebih menyayat. Betapa rakyat jelata yang masih dalam trauma bagaikan langsung tidak berupaya untuk membina hidup baru. Ramai yang masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah hilang harta benda, dan hilang orang-orang yang dikasihi.

Bagaimana untuk mula bertani – kebanyakan yang terjejas adalah pesawah – sedangkan mereka masih dalam kepiluan yang amat? Bagaimana untuk meneruskan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana sedangkan mereka tidak mempunyai modal walau sesen pun untuk mula?

Di mana sahaja saya pergi, orang menadah tin dan baldi kosong sambil menangis minta sedikit simpati. Ada yang mengendong anak kecil, dengan pakaian lusuh sekali, terketar-ketar menghulurkan baldi untuk meminta wang. Melihat anak kecil yang layu dalam pangkuan, saya pasti mereka belum makan. Ini pandangan biasa, tidak ada orang yang peduli.

Jeffri, 36, berasa tidak boleh hidup di bandar Padang setelah rumah dan keluarganya – isteri dan dua orang anak – sekali gus ditelan bumi. Dia membawa diri di Bukti Tinggi, menjadi pemandu pelancong. Pemerintah mengeluarkan pas khas membenarkan dia melakukan kerja tersebut, tetapi tanpa gaji. Gajinya seratus peratus bergantung pemberian pelancong.

Dengan pelancong merosot teruk akibat gempa juga ketakutan serangan pengebom berani mati seperti yang pernah terjadi di Bali, Jeffri sudah dikira beruntung jika mendapat Rp10,000 sehari. Itu kira-kira RM4 duit kita. Tetapi bukan semua pelancong sudi menderma. Kerap juga Jeffri pulang kosong setelah seharian menjadi pemandu pelancong di salah satu pusat pelancong di Bukit Tinggi. Itu bererti dia tidak boleh makan hari itu!

Keinginan Jeffri ialah mengumpul sedikit sebanyak wang dari titik peluhnya untuk memulakan perniagaan menjual minuman dan bakso. Untuk itu dia memerlukan kira-kira RP1 juta – kira-kira RM300 – sebagai modal asas. Tetapi dia sendiri tidak pasti bila cita-citanya menjadi ‘usahawan bakso’ itu akan tercapai. Kalau tidak dengan semangatnya yang kental, dia sudah mati lama sebab kelaparan.

Di negara dengan lebih 126 juta penduduk itu, orang seperti Jeffri – jumlahnya berjuta-juta di seluruh Indonesia – terpaksa bangun sendiri untuk memulakan apa juga perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana. Bank tidak akan memberi pinjaman kepada mereka yang membuka warung bakso, juga yang melakukan industri kecil membuat kerepek atau menenun telekung. Mereka kena bertungkus lumus mencari modal sendiri.

Berbeza betul dengan orang yang ingin berniaga di negara kita, termasuk dalam industri kecil dan sederhana (IKS). Keprihatinan kerajaan memungkinkan orang-orang ini mendapat bantuan modal. Mara boleh menghulurkan modal, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) juga sedia membantu. Pinjaman diberi dengan terma bayaran balik yang amat mudah.

Malah, untuk pinjaman di bawah RM10,000 (itu kira-kira Rp25 juta!), tidak perlu cagaran, tidak perlu kertas kerja.

Begitulah mudahnya orang kita mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan kecil. Sayangnya apabila diberikan begitu mudah, wang itu tidak pula dihargai. Wang tidak digunakan untuk berniaga, hutang pula tidak mahu dilangsaikan. Malah ada yang berkata hutang itu tidak perlu dibayar sebab itu adalah ‘pemberian’ kerajaan kepada ‘penyokong’.

Maka tidaklah menghairankan apabila TEKUN baru-baru ini merayu kepada peminjam supaya menjelaskan hutang. Jumlah hutang tidak berbayar ialah RM130 juta (saya tidak boleh kira berapa banyak jika ditukar dalam Rp). Jumlah yang tidak membayar hutang ialah 39,576 orang. Tidak kita penyokong kerajaan atau bukan, peminjam-peminjam ini perlu dikenakan tindakan. Orang-orang ini tidak tahu malu, dan tidak pernah menginsafi malang yang terjadi di Padang!

Perancangan Kewangan

5 Tips Untuk Azam Kewangan Tahun Baru Anda
Pakdi.my

Posted: December 31st, 2009 | Author: pakdi | Filed under: Motivasi, Perancangan Kewangan

Barangkali anda masih mencari-cari apakah azam kewangan anda untuk tahun 2010. Mari saya kongsikan 5 tips untuk anda melakukan sesuatu yang lebih baik pada tahun 2010:

1. Saya akan menggunakan 1 kad kredit sahaja

Sekiranya anda mempunyai 5 kad kredit, anda akan mengeluarkan lebih banyak duit. Sedangkan anda sebenarnya masih boleh hidup dengan 1 kad kredit.

Sebelum ini, sekiranya anda seorang yang berdisiplin, 10 kad kredit pun tidak mengapa. Tetapi anda akan “membuang” lebih kurang RM 500 setahun hanya untuk membayar cukai untuk 10 kad kredit anda selepas ini.

Jadi anda perlu merancang kembali penggunaan kad kredit anda.

2. Saya akan tambah jumlah simpanan bulanan saya

Sekiranya anda sudah berjaya mendisiplinkan diri untuk membuat simpanan setiap bulan, barangkali 10% dari gaji, apa kata anda tambah 2.5% lagi pada tahun ini menjadi 12.5%.

Mari kita buat kira-kira. Sekiranya pendapatan tahunan anda adalah RM 60,000 maka dengan hanya menambah 2.5%, maka anda akan dapat menyimpan sebanyak RM 7,500 berbanding RM 6,000 sahaja.

3. Saya akan beli 1 buku berkaitan bisnes, pengurusan kewangan dan pelaburan setiap bulan

Ya. Sudah tentu anda boleh mendapat tips percuma dari blog saya dan beberapa blog berkaitan lagi di internet. Tetapi masih ramai yang tidak memberikan tips percuma di internet seperti saya.

Ada banyak lagi ilmu-ilmu pengurusan kewangan yang anda boleh dapat dengan membaca. Saya sendiri tidak mampu menulis semua topik, semua bab, dan menulis semua yang saya tahu dalam blog ini.

4. Saya mesti bina aset saya sendiri

Ramai yang saya lihat hari ini ada hobi tersendiri. Tetapi tidak ramai yang membina aset dari hobi tersebut. (Untuk anda yang baru membaca blog saya, aset yang saya maksudkan adalah sesuatu yang membuatkan poket anda kembung!)

Anda boleh menjual barang di Ebay. Anda boleh membina minisite jualan sendiri. Anda boleh menulis buku. Anda boleh menulis lirik lagu. Anda boleh mengajar how to breastfeed anak kepada bakal-bakal ibu. Anda boleh menjadi jurugambar. Anda boleh jual tudung Ekin. Anda boleh mulakan portfolio hartanah anda. Anda boleh … (sila isikan tempat kosong sendiri)

Sekiranya anda sudah bina pada tahun lepas dan berjaya, ulang sahaja resipi kejayaan anda atau tambah satu lagi aset baru yang berlainan jenis. Selagi mana aset itu halal, buat sahaja.

Kalau sudah bermula, tetapi masih belum belum berjaya, jangan berputus asa.

5. Saya mesti gunakan produk kewangan yang halal

Baik akaun simpanan, akaun semasa, akaun pelaburan. Dan pelbagai akaun lagi termasuk kad kredit, sila lah berhijrah ke produk yang halal. Produk yang mempunyai pengesahan halal dari pihak mempunyai autoriti untuk membuat pengesahan tersebut.

Saya tidak mengatakan apabila anda guna produk kewangan halal sahaja, anda terus boleh jadi jutawan. Bukan begitu. Cuma ada beberapa kisah benar, dulu hidup mereka “sempit”. Bukan tidak berduit. Ada duit, bergaji besar. Tetapi masih tidak lapang pintu rezekinya. Hati sentiasa berkeluh kesah dan tidak tenang. Lalu satu hari dibukakan hati untuk berhijrah menggunakan produk kewangan Islam, dan lama kelamaan mereka tidak lagi berasa “sempit” dan gundah gulana, hati sudah menjadi tenang. Kalau dirasakan tidak cukup rezekinya, entah macam mana akhirnya tetap menjadi cukup.

Itu kerja Allah swt. Sebab dalam Islam ada konsep suci dan berkat.

Hm.. saya rasa saya perlu tambah lagi 2 tips. Tips yang istimewa.

+1. Saya wajib berhenti merokok

Harga rokok semakin mahal. Kalau gaji anda setiap tahun bertambah mahal juga tidak mengapa. Tetapi saya harap anda bukan tergolong dalam golongan yang mengutamakan kepuasan merokok dari kualiti hidup anak-anak dan keluarga.

Kadang-kadang saya berasa pelik, kenapa duit merokok boleh sentiasa ada setiap bulan tetapi untuk menyimpan ada sahaja alasannya.

+2. Saya mesti daftar haji tahun ini juga

Salah satu syarat haji mesti ada keupayaan. Antaranya keupayaan kewangan untuk pergi dan balik, juga untuk perbelanjaan tanggungan yang ditinggalkan di tanah air.

Saya fikir tidak kena kalau selama ini kita berfikir ingin tambah duit sahaja tetapi terlupa untuk bertindak bagi membolehkan naik haji. Banyak tempat di dunia ini kita sudah pergi, tetapi dengan sengaja kita melambatkan pula urusan haji sedangkan sudah mampu.

Daftar haji tahun ini bukan tahun depan boleh terus pergi. Silap haribulan, 10-15 tahun lagi baru anda dipanggil. Kalau sudah mampu, tapi masih belum daftar haji, sekali sudah ‘padam’ dulu… amacam?

Semoga saya dapat membantu anda untuk membina azam kewangan tahun 2010