Memaparkan catatan dengan label Produk Baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Produk Baru. Papar semua catatan

Rabu, 9 Disember 2009

Budu dalam bentuk debu

Budu dalam bentuk debu




fisal ahmad bersama-sama produk Debudu yang mudah dibawa ke mana-mana.
________________________________________

BERCERITA mengenai masakan tradisional, tidak boleh ketepikan budu - sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Kelantan. Budu merupakan produk yang dihasilkan daripada ikan bilis dan garam yang diperam memberikan rasa dan bau yang unik.
Biasanya budu digunakan sebagai pencicah yang dimakan bersama-sama ulam serta nasi dan lauk-pauk.

Budu mempunyai semua asid amino dan tinggi dengan kadar lysine selain vitamin serta garam galian yang berguna.

Makanan ini juga merupakan sumber terbaik bagi Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus.

Budu juga mempunyai kandungan garam yang tinggi yang menghalang pengguna mengambilnya dalam kuantiti yang tinggi.

Bagaimanapun dengan kepentingan nutrisi tetapi pengeluaran yang terhad boleh membantutkan usaha untuk mengkomersialkan produk berkenaan.
Justeru Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalankan kajian menghasilkan budu dalam bentuk serbuk atau dinamakan debudu.

Pensyarah Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan, Fisal Ahmad mendapat idea menghasilkan debudu apabila sukar membawa budu menaiki pesawat.
"Budu yang merupakan makanan berkhasiat sepatutnya mudah dibawa ke mana saja selain senang disajikan.

"Botol budu yang dibawa menaiki pesawat biasanya mudah pecah akibat proses penapaian," katanya semasa ditemui di pameran Pecipta 2009 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru beliau menghasilkan debudu yang merupakan produk unik - merupakan budu yang dikeringkan .

"Produk baru ini boleh ditambah dengan beberapa bahan lain seperti cili, asam limau selain pembungkusan serta pengurusan yang mudah dan menarik," katanya.

Debudu merupakan kaedah terbaik untuk menangani masalah bekalan yang terhad selain meluaskan penggunaannya di masa depan.

Fisal menambah, apabila budu dikeringkan, ia tidak menghilangkan khasiatnya dalam bentuk Debudu.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya telah menjalankan kerjasama dengan pengeluar budu terbesar bagi menjalankan kajian menghasilkan debudu.

"Bedubu boleh didapati dengan dua perisa iaitu asli dan campuran cili, limau dan bawang dan hanya perlu ditambah air apabila dihidangkan," katanya.

Debudu yang telah dibungkus menarik, jelas Fisal sesuai dijadikan cenderahati kerana kering, mudah dibawa.

Benih orkid terbaik di Ayer Hitam


Benih orkid terbaik di Ayer Hitam

MOHAMED Ismail Jaafar kini menanam 10,000 pohon orkid daripada lapan jenis terpilih di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang.
________________________________________

KLUANG 7 Dis. - Penggemar orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, dekat sini.
Projek pertanian itu yang telah mengadakan ekspo baru-baru ini, memberikan peluang kepada pengunjung melihat kegiatan 30 usahawan yang mengusahakan pelbagai tanaman dan ternakan.

Antara yang menarik dikunjungi adalah tanaman orkid.

Di kawasan seluas 4,000 hektar itu, terdapat 10 pengusaha tanaman orkid yang menanam pelbagai jenis orkid bermutu.

Salah seorang pengusaha orkid terkenal di situ Mohamed Ismail Jaafar, 46, berkata, di kebun orkid yang diusahakannya, pelbagai spesies orkid dipamerkan.
"Dengan keluasan itu saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih dengan 10,000 pohon orkid.

''Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Kata Mohamed Ismail, projek yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri itu, memberi peluang kepadanya menjadi usahawan berwibawa.

Katanya, ternyata segala usaha yang lakukan selama dua tahun dalam projek berkenaan mampu memberi pulangan yang cukup lumayan.

Hakikat itu, katanya, dapat dibuktikan dengan 8,000 pohon orkid yang telah matang, dan dia kini mampu peroleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.
"Apa yang saya hendak kongsi bersama pengunjung adalah mereka boleh melihat teknologi yang kami gunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.

"Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh bumiputera," katanya.
Mengenai benih orkid, Mohamed Ismail berkata, benih berkualiti itu diperoleh dari Thailand.

Katanya, antara spesies orkid yang dimiliki ialah dendrubium, mokara, aramthera, vanda dan banyak lagi.

Sehubungan ini, katanya, mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai orkid boleh menghubunginya di talian 019 7107271.

Isnin, 30 November 2009

Pelajar UPM hasil produk makanan baru

Pelajar UPM hasil produk makanan baru

SEBANYAK 10 produk makanan baru berjaya dihasilkan pelajar tahun akhir kursus Pembangunan Produk Makanan Baharu, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan FSTM, Prof Dr Mohd Yazid Abdul Manap berkata antara produk makanan baru itu adalah ‘1 Gaga - Aiskrim Herba’, yang dibuat daripada susu soya, oat, pegaga dan hampas soya.

Beliau berkata 1 Gaga sesuai bagi peminat aiskrim yang menitikberatkan kesihatan terutama mereka yang mengalami alahan terhadap laktosa dan golongan vegetarian.
Sembilan produk makanan lain, katanya adalah ‘EbiC-Sup Bebola Daging’, ‘Cemp-Enak-Bebola Pastri’, ‘Dip em-Biskut dan Sos Pencicah’, ‘Veggie Bit-Konfeksi Gula’, ‘SuriFresh-Makanan Ringan’, ‘Yopai-Minuman Terfermentasi’, ‘Fiji-Makanan Ringan’, ‘Pulse Delight-Makanan Ringan’ dan ‘Vit-A-Mi-Mi Segera’.

Sambil menyifatkan kejayaan pelajar terbabit membuktikan keupayaan mereka mengintegrasi pengetahuan teknikal dalam kejuruteraan makanan, pemprosesan makanan, pembungkusan makanan dan mikrobiologi, beliau berkata,

“Latihan praktikal pelajar FSTM bukan saja membabitkan kemahiran bidang pengkhususan mereka malah menerapkan elemen kemahiran insaniah seperti kemahiran berpasukan, pemikiran kritis, kecekapan komunikasi, keusahawanan serta etika dan moral.