Memaparkan catatan dengan label Idea Berniaga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Idea Berniaga. Papar semua catatan

Jumaat, 11 Disember 2009

Idea Niaga : Mas Cotek


Petua ibu lahirkan usahawan mas cotek
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar HALIM KHALID

masri Ismail (kanan) meleraikan daun mas cotek sebelum dibersih, ditos dan dikeringkan dalam ketuhar.
________________________________________

SAYA sangat tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan begini," kata Pengasas Sri Ain, pengusaha minuman mascotek, Masri Ismail.

Beliau memulakan usaha menanam herba mas cotek secara kecil-kecilan selepas mengamalkan petua ibunya yang mengambil herba berkenaan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah.

Masri yang berminat dengan herba berkenaan mula mencari pelbagai maklumat mengenai khasiat mas cotek daripada Internet serta orang tua-tua.

Berminat dengan khasiat mas cotek, Masri mula menanam herba berkenaan secara meluas di tanah miliknya seluas satu hektar di Kampung Jenjarum, Banting, Selangor.
Bagi meningkatkan produktiviti tanaman mas cotek, Masri sering mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada Pegawai Pertanian Kuala Langat, Mohd. Fairuz Affendy Mohd Isa.

Memulakan tanaman mas cotek pada Jun 2007, Masri juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Seminggu saya mengikuti kursus di UTM mengenai cara menghasilkan dan menggunakan mikrob berguna (EM) dalam racun serangga dan baja.

"Ini sebagai satu cara penanaman bebas kimia yang saya amalkan sejak sekian lama," katanya semasa ditemui di ladangnya di Banting, Selangor.

Beliau juga banyak menerima khidmat nasihat dan input pertanian dalam bentuk baja dan peralatan daripada Jabatan Pertanian.

Masri menanam 13 jenis mas cotek dan menggunakan ramuan pelbagai jenis bagi menghasilkan produk yang berkualiti.

Beliau menghasilkan produk pertama pada Ogos 2008 dengan pasaran hampir di seluruh negara.

Pada bulan Mei tahun depan, Sri Inai menambahkan lagi dua produk keluarannya iaitu mas cotek halia dan Sri Cotek Cafe bagi penggemar kopi.

Masri juga mendapatkan khidmat nasihat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi ujian mikrob dan logam berat.

Bagi mendapatkan ekstrak bagi Sri Cotek Cafe, Masri menghantar bahan mentah ke Taman Teknologi Malaysia (TPM).

Masri berkata, proses menghasilkan minuman botanikal mas cotek bermula dengan tuaian daun dan dileraikan.

"Daun berkenaan kemudian ditimbang dan dibasuh menggunakan air suling sebelum ditoskan di atas dulang selama beberapa hari.

"Selepas itu daun akan dimasukkan ke dalam ketuhar pada suhu 40 hingga 45 darjah Celcius (C) selama tiga hari," katanya.

Apa yang menarik, Masri membina sendiri ketuhar untuk mengeringkan daun dan boleh mengisi sehingga 150 kilogram daun pada satu-satu masa.

Daun yang telah dikeringkan kemudiannya dibawa ke kilang di Sungai Manggis untuk diproses dan dijadikan minuman botanikal dan mas cotek halia.

Kilangnya yang dilengkapi dengan sebuah makmal kecil, bilik pengisar, bilik pengeluaran dan stor boleh menghasilkan sehingga 10,000 uncang sehari atau kira-kira 4,000 kotak sebulan.

"Di kilang ini, kami menjalankan ujian rasa dan kelembapan bagi memastikan kualitinya sentiasa terjamin," katanya.

Masri menjelaskan, perkara berkenaan penting kerana pernah daun yang dikeringkan di dalam ketuhar terasa seperti hangus dan terpaksa dibuang.

"Kami di sini memastikan pelanggan akan mendapatkan minuman mas cotek yang benar-benar menepati cita rasa," katanya.

Beliau menambah, mas cotek Sri Inai telah mendapat Sijil Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada masa akan datang, Masri bercadang untuk menghasilkan mas cotek dalam bentuk tablet, minuman dan kordial.

"Ujian bagi produk berkenaan sedang dijalankan di TPM dan saya berharap akan dapat mengeluarkannya menjelang tahun depan," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk mas cotek keluaran Sri Ain boleh layari laman sesawang www.sriain.com.my

Idea Niaga : Tepung keledek


Tepung keledek berpotensi dikomersialkan
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar ASWAD YAHYA

Norani Sidek (kanan) bersama Prof. Saidatul Hisan menunjukkan tepung yang diperbuat dari keledek di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
________________________________________

BIASANYA ubi keledek dimakan dalam bentuk gorengan, direbus atau bahan dalam kuih-muih sebagai hidangan sarapan pagi atau petang. Rasa keledek biasanya manis dengan kehadiran gula yang biasanya meningkat apabila direbus atau dimasak.
Bagaimanapun kanji merupakan bahan utama dan tepung boleh dihasilkan daripada keledek.

Kajian menunjukkan keledek kaya dengan Vitamin A dalam bentuk beta karoten dan sumber Vitamin C yang baik selain mempunyai ciri perubatan sebagai makanan antioksidan.

Kedua-dua beta-karoten dan Vitamin C merupakan bahan antioksidan yang berguna dan boleh memusnahkan radikal bebas.

Radikal bebas merupakan bahan kimia yang memusnahkan sel dan membran sel dan berkaitan dengan perkembangan atherosclerosis, penyakit diabetes dan kanser kolon.
Kajian menunjukkan warna kuning atau jingga dalam keledek disebabkan oleh kandungan beta-karoten.

Beta-karoten dalam keledek boleh digunakan untuk menghasilkan Vitamin A yang dinamakan Provitamin A.

Keledek ungu pula merupakan sumber terbaik antosianin dan mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi di kalangan varieti keledek.

Justeru sekumpulan pensyarah dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), menjalankan kajian mengenai keledek.

Kajian yang diketuai oleh Prof. Madya Norani Sidek bersama Prof. Madya Raja Saidatul Hisan Raja Datuk Sri Azam, Noradzhar Baba dan Sabaianah Bachok bagi menunjukkan keledek sesuai dijadikan tepung yang berpotensi dikomersialkan.

Norani berkata, produk baru yang dihasilkan daripada keledek kaya dengan beta-karoten dan antioksidan, tinggi fiber, kalori rendah, tanpa pengawet dan pewarna tiruan.

"Tepung keledek berpotensi untuk dikomersialkan kerana mempunyai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

"Ini merupakan sesuatu yang baru dalam pasaran, mempelbagaikan kegunaan keledek, menghasilkan pelbagai produk daripada tepung keledek," katanya semasa ditemui semasa pameran BioMalaysia 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, pelbagai produk berasaskan keledek berpotensi dikomersialkan kerana mempunyai pelbagai nilai pemakanan dan sesuai bagi mereka yang menjaga kesihatan.
"Tepung keledek merupakan produk baru dalam pasaran yang baik untuk menghasilkan adunan tepung dan hasil bakeri dan boleh dijadikan makanan kesihatan," katanya.
Norani berkata, kajian yang dijalankan mendapati tepung keledek mudah dihasilkan menggunakan bahan sedia ada.

Keledek yang dituai perlu dikupas kulit, potong dan dikeringkan pada suhu 158 darjah Celsius selama lapan jam.

Bahan berkenaan kemudian disejukkan pada suhu bilik selama dua jam sebelum dikisar dan kemudian diayak dan kemudian tambah dengan beberapa bahan lain.

"Tepung keledek tadi boleh menghasilkan beberapa produk lain seperti sos barbeku, produk pastri dan bakeri, sapuan keledek, lempeng dan fritter dan batters," katanya.

Selasa, 8 Disember 2009

Idea Niaga : Usahawan internet



Usahawan internet
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my






Dua beradik buka butik maya jual busana Muslimah

GANDINGAN mantap dua beradik, Siti Azlia Idha, 27, dan Siti Allia Idha Abd Latif, 24 yang masih muda, bergaya dan bijak pastinya dicemburui ramai gadis.

Jika dilihat pada luaran, dua wanita muda ini tampak sama seperti wanita sebaya. Mereka suka bergaya dan benar-benar cintakan fesyen, namun setiap patah bicara tidak sekadar cakap kosong tanpa isi, sebaliknya pasti akan terselit cerita mengenai perniagaan dan hala tuju masa depan butik Muslimah dalam talian milik bersama iaitu getGorgeous (www.getGorgeous.com.my).


Kelahiran getGorgeous kira-kira tiga tahun lalu mengubah banyak perkara dalam hidup mereka. Azlia Idha, sebelum ini bergelar arkitek landskap di Seremban, manakala Allia Idha pula lulusan Sarjana Muda dalam bidang kreatif media dari Universiti Multimedia, Cyberjaya.

“Melepaskan jawatan profesional untuk bergelar usahawan internet bukan keputusan yang mudah dan memulakan perniagaan Internet juga bukan kerja yang main-main.

“Namun saya percaya, kejayaan getGorgeous sehingga mampu berada pada tahap ini dalam waktu yang singkat adalah hasil daripada keinginan yang kuat, kerja keras, pengorbanan dan berkat dorongan daripada mereka yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.




Mereka juga turut mengakui, rahmat Ilahi sentiasa menyebelahi sepanjang menjalankan perniagaan Internet selain beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penasihat dan rakan kongsi, Nooraizan Mamat yang juga seorang panel motivasi untuk syarikat jualan langsung (MLM) mengenai selok-belok dunia perniagaan.

Tidak meletakkan sebarang tekanan walau menjalankan usaha sama bersama ahli keluarga sendiri, kata Azlia Idha, gandingan antara beliau dan adiknya melengkapkan penubuhan getGorgeous.

“Saya seorang yang minat berfesyen dan sentiasa mengambil tahu aliran gaya semasa, malah sebagai bekas arkitek, saya terdidik untuk sentiasa kreatif selain menjadikan setiap benda kelihatan indah.

“Adik saya pula mempunyai kepakaran dalam bidang multimedia grafik dan kemahirannya dalam merekabentuk laman sesawang serta fotografi banyak membantu,” katanya.
Memulakan cerita mengenai butik muslimah secara dalam talian milik mereka, Azlia Idha memberitahu, semuanya tercetus ketika membantu abang dan kakak ipar mereka membuat perniagaan cupcake secara dalam talian di www.onepiecebakery.com.

“Memang semangat betul ketika itu apabila melihatkan perniagaan mereka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan seluruh negara. Lantas, saya terfikir, mengapa tidak saya membuka butik secara dalam talian juga.

“Kebetulan pula pada 2007, tidak ramai yang menjual pakaian Muslimah moden

di Internet. Memanfaatkan minat yang mendalam dalam bidang fesyen, malah rakan-rakan juga sering merujuk mengenai penampilan diri sesuai dengan mereka daripada saya, lantas lahirlah butik Muslimah getGorgeous,” katanya.

Pada awal penubuhan getGorgeous, Azlia Idha mengakui sukar mendapatkan kepercayaan pelanggan kerana masih belum dikenali.

“Ada yang takut ditipu, justeru kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Sindiran negatif juga perkara biasa mungkin kerana mereka tidak yakin perniagaan Internet mampu menjana pendapatan yang kukuh.

“Bagaimanapun, semua itu kami anggap sebagai cabaran dan akhirnya, berkat kejayaan, kata sinis yang kami terima dulu bertukar menjadi pujian yang tiada penghujungnya,” katanya.

Bagi Azlia Idha, mengubah titik hidup untuk menjadi seorang yang berjaya memerlukan keberanian dan pesanan daripada Nooraizan, perkara yang paling susah adalah untuk memulakannya dan perkara yang paling mencabar adalah untuk mengekalkannya pasti akan disemat di dada sebagai pembakar semangat.

“Sekiranya anda masih ragu-ragu atau tidak yakin untuk memulakan perniagaan, saya sarankan supaya buat perniagaan secara sambilan dulu. Apabila anda rasa yakin, buatlah sepenuh masa.

“Paling penting adalah fokus. Jangan suka ikut dan dengar cakap orang, buat apa yang anda minat serta jujurlah kepada diri sendiri dan orang lain,” jelasnya.

Celah Allia Idha, ramai anak muda tidak didedahkan sepenuhnya dengan dunia perniagaan dan menganggap perniagaan adalah jalan terakhir untuk mencari rezeki sedangkan di dalam Quran ada menyebut sembilan daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan.

“Cabang perniagaan itu banyak dan carilah yang sesuai dengan jiwa anda kerana apabila serasi dengan kerja kita maka ia akan jadi lebih mudah dan menyeronokkan.

“Tapi, makan gaji juga tidak salah kerana dari situ kita dapat mengutip pengalaman dan modal untuk mengukuhkan tapak sebelum terjun ke bidang perniagaan yang penuh risiko,” katanya.

Menurut Allia Idha lagi, getGorgeous sendiri bermula dengan modal yang sangat kecil, tetapi semangat dan keinginan yang besar dalam diri tidak membataskan langkah mula mereka ketika itu.

“Bayangkan, koleksi pertama kami hanya enam helai baju saja, malah ketika mula-mula membuat keputusan untuk bergelar usahawan Internet, bapa juga seolah-olah tidak merestui keputusan kami.

“Tapi mungkin kerana sejak di bangku sekolah, bapa sering menasihatkan kami berniaga daripada makan gaji, jadi semua kepayahan dan cakap-cakap daripada orang sekeliling yang mempertikaikan kemampuan kami membangunkan getGorgeous hanya melintas bak angin lalu saja,” jelasnya.

Bagaimanapun, berkat doa dan restu kedua ibu bapa, Zaimah Abdul Hamid dan Abdul Latif Idrus, walau usia perniagaan masih baru, dua adik-beradik itu mula melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan borong kepada peniaga butik yang berminat memasarkan koleksi getGorgeous.

Sehingga kini getGorgeous mempunyai pengedar dari lapan negeri antaranya Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak selain Kuala Lumpur serta sekitar Selangor.

Kini, Azlia Idha melangkah lebih jauh dan bercadang untuk berkongsi pengalaman memulakan perniagaan Internet, kisah hidup dan rahsia kejayaannya di e-book.

Idea Niaga: Sewa Laman

Sewa laman
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Kemudahan menyewa taman bagi majlis kian popular di bandar besar

KITA lazimnya mendengar mengenai perkhidmatan menyewakan khemah dan sistem peralatan audio visual untuk sesebuah majlis keraian.

Kini, perkhidmatan menyewa pokok juga sudah mendapat tempat dalam majlis keraian yang dilakukan sama ada ia dianjurkan syarikat korporat atau jabatan kerajaan dan orang perseorangan.

Pemilik Emerald Vista Landscape, Steven Siva berkata, aliran menyewakan pokok untuk majlis keraian seperti perkahwinan, majlis konvokesyen serta hari jadi semakin meningkat sejak kebelakangan ini terutama di bandar besar.

Katanya, perkhidmatan menyewakan pokok dan hiasan landskap sudah lama bertapak di negara ini tetapi terhad kepada permintaan pejabat kerajaan dan syarikat korporat saja.

"Kini, aliran itu sudah berubah kerana ada orang perseorangan yang beralih kepada perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap bagi mencantikkan kediaman atau ketika mereka mahu mengadakan majlis. Jika dulu majlis yang besar saja menggunakan perkhidmatan ini, kini majlis sekecil jamuan hari jadi atau rumah terbuka turut menyewakan pokok sebagai hiasan," katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung mengendalikan perniagaan landskap dan menyewakan pokok.


Mengulas mengenai perkhidmatan menyewa pokok, katanya perkhidmatan itu sudah diperkenalkan oleh sebuah syarikat sejak 30 tahun lalu tetapi terhad kepada syarikat besar, pejabat kerajaan dan majlis perbandaran bagi majlis di peringkat daerah, negeri dan nasional.

"Arah aliran ini berubah apabila semakin ramai yang sedar dengan kepentingan menjaga alam sekitar serta keperluan menghias kediaman dan pejabat," katanya yang pernah berkhidmat selama lima tahun di syarikat yang menjalankan perkhidmatan menyewa pokok dan hiasan landskap, sebelum mengusahakan perniagaan landskap sendiri.


Steven berkata, ramai yang percaya kualiti hidup dapat ditingkatkan dengan adanya tumbuhan di kediaman dan tempat kerja .

"Berdasarkan pengalaman saya dapati jika ada orang yang sakit di satu-satu tempat kerja, pokok yang ada di pejabat itu juga cepat kering dan layu berbanding pejabat yang dihuni mereka yang sihat," katanya

Beliau menjelaskan selain menyewakan pokok, biasanya syarikatnya turut menjalankan kerja penyelenggaraan untuk pokok yang disewa termasuk penyiraman, pemangkasan, pemuliharaan dan pembajaan pokok yang dilakukan seminggu sekali.

"Saya juga menyediakan pasu yang tidak menyebabkan air melimpah selepas siraman dan tiada kekotoran ketika kakitangan melakukan kerja penyelenggaraan pokok yang disewakan. Malah, kami syarikat yang pertama memberi jaminan bahawa pasu bunga yang disewa tidak mengandungi jentik-jentik yang akan menyebabkan pembiakan nyamuk aedes punca demam denggi.


"Biasanya, bagi penyewaan pokok untuk pejabat, kita sediakan pakej kontrak satu tahun sewaan pokok bersama kerja penyelenggaraan (penyiraman, pembajaan, pemangkasan dan pemuliharaan) bersama tambahan tiga bulan kerja sebelum kontrak ditamatkan. Pokok juga dijamin akan diganti dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang caj jika ia rosak atau mati.

"Selain itu, kita memberi jaminan pokok yang disewa selamat sesuai dengan dasar kesihatan dan keselamatan di tempat kerja," katanya.

Kadar sewaan ditetapkan bergantung kepada saiz pasu dan pokok selain tempoh jangka masa kontrak berkuat kuasa. Biasanya bayaran dibuat secara bulanan walaupun kontrak ditetapkan secara tahunan.

Bagi majlis keraian, pokok yang disewa dan kerja menghias ditetapkan mengikut saiz pokok, bahan yang digunakan dan tempoh masa penyewaan sama ada sehari, dua atau seminggu.

Steven berkata, bagi majlis kecil biasanya beliau menetapkan sewa mengikut bajet yang ditetapkan pelanggan mengikut tema yang dikehendaki.

"Biasanya, saya akan tanya dulu bajet sebelum perbincangan lanjut dilakukan supaya ia menepati perbelanjaan dan tema yang diinginkan pelanggan," katanya.

Majlis perkahwinan bertemakan taman dan kehijauan yang sering menjadi pilihan ramai sejak kebelakangan ini, menyaksikan khidmat sewaan pokok semakin mendapat tempat.

Emerald Vista Landscape juga menyediakan perkhidmatan penyewaan barang hiasan landskap seperti pancuran air, kolam mini pasang siap, lampu landskap, pagar, pasu, batu dan rumput.

"Untuk majlis keraian, kita juga menyediakan pakej pemasangan pentas, jambangan bunga serta pintu gerbang. Kita juga benarkan pelanggan membuat pemilihan pokok dan hiasan mengikut cita rasa dan perbelanjaan yang mereka ada " katanya.

Info: Mereka yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi Steven di 03-80700711 atau melayari laman web www.emeraldvista.com

Isnin, 7 Disember 2009

Idea Niaga :Bertani bawa Ronirah ke London

Bertani bawa Ronirah ke London
Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD



RONIRAH Kosni menyusun pisang yang turut dijualnya di tapak pasar tani.
________________________________________



ANGGAPAN wanita hanya sesuai dengan kerja-kerja menguruskan rumah tangga atau kerja-kerja ringan pada masa kini tidak lagi relevan. Ini kerana kaum Hawa sebenarnya mampu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum Adam.

Hakikat ini dibuktikan dengan bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh Ronirah Kosni yang terkenal dengan jolokan 'wanita besi.'

Nama beliau memang tidak asing terutama di kalangan para usahawan tani di negeri Johor.

Ini kerana wanita berusia 53 tahun itu memang cukup hebat berikutan kesungguhannya dan minat yang mendalam dalam bidang usahawan tani hingga membolehkan beliau menjejakkan kaki ke kota London dan berjaya menemui Ratu Elizabeth.

Ronirah, yang berasal dari Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, Keluang, Johor merupakan usahawan tani wanita yang begitu aktif dengan menjadikan tanah miliknya seluas 20 hektar sebagai kegiatan ternakan, pertanian dan ladang kelapa sawit.

Apa yang membanggakan ibu kepada lima anak ini, kesemua hasil kegiatan itu dipasarkan di pasar anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor yang dikenali Pasar Tani Mega Larkin.

Katanya, penglibatan secara aktif di pasar tersebut sejak 24 tahun lalu itu, mampu memberikan pulangan cukup lumayan yang secara langsung mengubah corak kehidupan keluarganya kepada lebih bermakna.

Menyorot penglibatannya dalam keusahawan tani, Ronirah berkata, ia bermula pada 1973 dengan tanaman kontan seperti betik eksotika, pisang berangan, sayur sayuran, ternakan termasuk ikan air tawar, kambing, ayam serta tanaman kekal kelapa sawit.
"Sebaik mengeluarkan hasil pada 1984, kesemua hasil tersebut terutama, ayam, buah-buahan dan sayur sayuran di pasarkan ke Singapura menerusi orang tengah.

"Menyedari keuntungan yang dikaut orang tengah cukup banyak, manakala saya yang bertungkus lumus membanting tulang cuma dapat untung tipis, saya mengambil keputusan menjualnya sebaik FAMA membuka pasar tani pertamanya pada 1985, di Jalan Ayer Molek," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang mendapat sokongan daripada suami, Md. Judyar Malik, 59, yang juga seorang usahawan tani berjaya berkata, hasil keuntungan di pasar tani Ayer Molek berlipat kali ganda.

"Contoh kalau jual pisang berangan dengan orang tengah, saya cuma dapat sekitar RM1.20 sen sekilogram (kg).

"Tapi bila saya jual sendiri di Pasar Tani Larkin, saya boleh jual dengan harga RM2 sekilogram berbanding harga di pasaran awam antara RM2.50 sen hingga RM3 sekilogram," katanya.

Tambah Ronirah, sejak pasar itu berpindah ke Larkin pada 1987 hingga kini dan beroperasi setiap Sabtu, beliau mampu menjual sekitar 18 bakul betik eksotika, 15 bakul pisang serta ikan air tawar terdiri daripada patin, keli dan talapia yang hasil jualannya menjangkau RM3,000 sehari.

Bagi wanita ini antara premis perniagaan yang diberikan oleh FAMA, Pasar Tani Larkin merupakan satu-satunya premis yang cukup disayangi kerana dapat menunaikan fardu kifayah, di mana penjual dan pengguna sama-sama menikmati keuntungan.

"Ini merupakan satu kepuasan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit," katanya.
Seperkara lagi yang cukup mengagumkan mengenai wanita besi ini, dalam usia separuh abad, masih berupaya menunggang motosikal bagi memantau kebun dan ternakannya.
Selain itu, Ronirah juga mampu memanjat tangki bekalan air setinggi 10 meter bagi menyelenggara ternakan ayamnya.

Beliau kini mempunyai Syarikat Anurizam Enterprise, dengan melantik anaknya, Zamzarina Md. Judyar, 24, selaku pengurus.

Zamzarina kini bertanggungjawab menguruskan sekitar 200 kambing, 60,000 ekor ayam, lapan hektar kelapa sawit, 1.2 hektar betik dan 4.8 hektar pisang berangan serta 28 kolam ikan air tawar.

Mengenai rancangan masa depan nenek kepada empat cucu ini berkata, syarikatnya dalam proses untuk membuat baja kompos hasil sisa buangan ternakan untuk kegunaan sendiri.

Berkat ketabahan dan kegigihannya dalam bidang usahawan tani, usahanya telah mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan Peladang Jaya peringkat Kebangsaan sebanyak dua kali, manakala Peladang Jaya peringkat Negeri Johor sebanyak tiga kali.
Berikutan itu juga Ronirah sering diberi peluang melawat ke luar negara sebagai hadiah antaranya New Delhi, Thailand dan beberapa wilayah di Indonesia.

"Bagi saya anugerah yang cukup berharga ialah berpeluang menghadiri Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di London dengan diraikan oleh tetamu diraja, Ratu Elizabeth.
"Rasanya kalau saya tidak melibatkan diri di bidang usahawan tani 'mati hidup balik,' tak merasa ke London," kata nenek kepada empat cucu ini.

Idea Niaga : Ikan masin ubah kehidupan

Ikan masin ubah kehidupan
Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my



SALAH seorang nelayan dan pekerja perusahaan ikan masin milik Samsudin Mohammad Salih menyusun ikan masin untuk dijemur di bawah terik matahari.
________________________________________

MELAKA 4 Dis. - Melihat kepayahan para nelayan di Pantai Puteri dekat sini menangkap ikan di lautan saban hari pasti membuat hati kita tersentuh.

Namun nasib para nelayan itu bergantung kepada hasil tangkapan iaitu ikan-ikan yang segar, masih berkualiti dan tidak busuk.

Sekiranya ikan tersebut busuk, ia tidak laku untuk dijual dan para nelayan tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa membuangnya.

Namun begitu, kesungguhan seorang nelayan, Samsudin Mohammad Salih, 40, membeli ikan-ikan yang tidak boleh dijual untuk dijadikan ikan masin bagi pasaran tempatan cukup melegakan kira-kira 110 para nelayan di Pantai Puteri.

Mereka kini tidak lagi perlu risau jika ikan-ikan yang ditangkap tidak dapat dijual kerana masih ada peluang untuk menambah pendapatan jika menjualnya kepada Samsudin.
Demi memastikan para nelayan beroleh pendapatan daripada ikan yang tidak boleh dijual, Samsudin sanggup menawarkan harga serendah RM1.70 sekilogram untuk membelinya daripada mereka.

Tidak hairanlah, Pengkalan Perigi di Pantai Puteri kini cukup dikenali sebagai tempat tumpuan orang ramai untuk mendapatkan ikan-ikan masin segar dengan harga yang berpatutan

Antara ikan yang amat popular dijadikan sebagai ikan masin ialah gelama, puput kurau, senangin selampai, duri dan lelayo.

Ikan tersebut dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM38 sekilogram bergantung kepada jenis ikan, ia mampu menjana pendapatan lumayan di samping hasil penjualan ikan segar.

''Saya mendapat idea untuk membuat ikan masin setelah melihat keperitan nasib para nelayan apabila ada sebahagian ikan tangkapan mereka tidak boleh dijual dan dibuang begitu sahaja.

''Apabila melihat keadaan itu timbul idea kepada saya untuk menjadikannya sebagai ikan masin memandangkan pasaran ikan ini cukup lumayan," kata Samsudin ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Bermula secara kecil-kecilan kini perniagaan ikan masin yang diusahakan olehnya semakin mendapat sambutan dan menjanjikan pendapatan yang cukup lumayan.
Berbekalkan sedikit kemahiran yang ada, Samsudin mencubanya sendiri dengan mengambil ikan-ikan yang tidak laku ini, memerap dengan garam dan dijemur di bawah matahari terik untuk beberapa hari mengikut cuaca.

Aspek kebersihan amat dititik-beratkan sepanjang proses pembuatan ikan masin itu bagi memastikan ia berada dalam keadaan segar dan sempurna.

Tugas rutin yang dilakukan seawal 8.30 pagi setiap hari apabila dia dan tiga pekerjanya menunggu nelayan-nelayan kembali ke darat untuk membeli ikan-ikan yang tidak dapat dijual kepada orang ramai.

Semua ikan yang sampai ke bengkel akan ditimbang, disiang dan dibersihkan dengan teliti.

''Kami memastikan setiap ekor ikan benar-benar bersih untuk mengelakkan sebarang tindak balas kuman yang boleh menjejaskan mutu hasil kami.
''Ini bagi memastikan produk ini sentiasa segar dan bebas kuman menjadikan ia lebih selamat dan tahan lebih lama berbanding ikan masin yang terdapat di pasaran," jelasnya.

Seterusnya ikan-ikan yang diasingkan mengikut jenis ini dilumuri dengan garam kasar dan dijemur di kawasan terdedah kepada panas matahari.

Ikan masin yang telah siap diproses pula dibungkus dalam dua lapisan plastik yang kedap udara bagi menjamin ia cukup segar.

Menurut Samsudin, pengedaran produk ikan masin miliknya semakin berkembang terutama untuk pasaran tempatan.

Seorang nelayan, Zulkifli Abdullah, 50, berkata, usaha yang dijalankan oleh Samsudin ini merupakan sesuatu yang murni kerana membantu para nelayan dalam menambahkan hasil pendapatan.

''Jika dahulu kami hanya mampu membuang ikan-ikan yang tidak laku dijual tetapi kini, hasil tangkapan tersebut dibeli oleh anak muda ini untuk dibuat ikan masin.
''Saya turut membantunya menjemur ikan-ikan tersebut dan bagi saya ini merupakan satu bidang yang baru kerana mampu menjana pendapatan kami sebagai nelayan," katanya.
Dalam pada itu nelayan, Abd. Rahman Ahmad, 56, pula berkata, hasil pendapatannya meningkat dengan adanya penjualan ikan masin.

''Dengan usaha yang dijalankan oleh Samsudin ini, kami tidak perlu gusar lagi mengenai ikan-ikan yang tidak laku ataupun sudah tidak berkualiti," katanya

Isnin, 30 November 2009

Idea Niaga :Ternak lembu lepas bersara ATM

Ternak lembu lepas bersara ATM
Oleh Jamaludin Husin
jamaludin@bharian.com.my

MUAR: Bermula dengan menternak tiga anak lembu iaitu seekor jantan dan dua betina, seorang bekas Penyelia Pemilihan Pegawai Kadet berpangkat Pegawai Waran 2 Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Shamsuddin Rais, 52, kini memiliki kira-kira 100 lembu dalam tempoh enam tahun.

Katanya, beliau mula menternak lembu secara kecilan pada 2003, selepas lima tahun bersara daripada ATM pada 1998, bertujuan mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah.

Bagaimanapun, katanya, minatnya bercambah selepas mendapati ternakannya itu semakin serasi dengannya dan menambah bilangan haiwan ternakan itu dari setahun hingga ke setahun.
“Kini jumlah ternakan melebihi 100 ekor, selepas sebahagiannya dijual pada kadar RM1,900 hingga RM2,000 seekor apabila haiwan itu berusia dua tahun.

“Sebahagian besar ternakan saya baka tempatan yang membiak dalam ladang kelapa sawit di Kampung Batu 10, Paya Panjang, Jalan Muar-Pagoh, dekat Bukit Pasir, Muar,” katanya, ketika ditemui di ladang ternakannya.

Shamsuddin berkata, beliau berusaha membiakkan ternakan itu dengan baka import dari Australia yang bersaiz besar dalam usaha menghasilkan bekalan daging yang lebih banyak berbanding dengan baka tempatan.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu kurang berhasil apabila 30 baka import dibawa masuk pada awal Januari lalu, 26 daripadanya mati dipercayai kesan daripada perubahan cuaca yang menyebabkannya tidak mampu bertahan lama berbanding dengan baka tempatan.

“Antara punca yang menyebabkan lembu baka Australia itu mudah mati disebabkan keadaan ladang ternakan yang berbukit serta berlumpur dan becak apabila hujan, selain suhu panas.

“Saya percaya faktor cuaca turut menyebabkan haiwan import itu tidak mampu hidup lama selain sering terjatuh ketika menuruni tanah yang sedikit curam dalam ladang ternakan,” katanya berasal dari Kampung Sungai Renggam, Panchor, di sini.

Shamsuddin berkata, beliau bersedia membekalkan lembu untuk majlis korban untuk Aidiladha, namun tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum Aidiladha.

Sabtu, 28 November 2009

Idea Niaga: Agen Perlancongan

Idea : Agen Perlancongan
Niaganews










Idea sebagai agen Pelancongan yang melibatkan kos sekitar RM3000-5000 sahaja.
Menjadi Agen Perlancongan adalah salah satau idea perniagaan yang sangat bagus pada ketika ini. Prospek perniagaan ini sangat berkesan memandangkan kini Malaysia sedang menuju ke sebuah negara perlancongan dunia.

KETERANGAN PERNIAGAAN

Pelancong kini sudah mula memandang ke Malaysia, disebabkan oleh keharmonian dan Negara yang maju dari segi pembangunan. Pelancong sudah mula memilih ke kawasan yang khusus, dan tidak lagi hanya tertumpu ke kawasan yang utama sahaja. Jika anda seorang yang meminati aktiviti perlancongan, atau anda mempunyai kemahiran bahasa, atau keyakinan untuk berjumpa dengan orang ramai, maka konsep perniagaan sebagai Agen Perlancongan adalah sesuai untuk anda.Kelebihan didalam perniagaan ini adalah anda akan berjumpa dengan pelbagai jenis orang/pelancong yang menyebabkan anda akan lebih bekerja keras untuk mencari penginapan mereka, tempat makan/restaurant yang menarik untuk mereka atau mungkin anda akan mencari tempat-tempat yang menarik untuk mereka lawati. Semua ini akan membuatkan anda sibuk, tetapi lumayan pada keuntungan anda.Perkara pokok disini, adalah anda mesti mengkaji dan mengetahui dahulu kumpulan sasaran pelancong yang anda akan kendalikan. Lihat pada minat kumpulan pelancong tersebut, samaada mereka dari kalangan yang minat pada aktiviti hutan, atau mereka datang untuk mencuba makanan sahaja, atau mereka datng untuk aktiviti anak-anak mereka, atau pelbagai lagi. Anda boleh menguruskan mereka semua, dan untuk itu anda perlu ingat bahawa anda perlu untuk mengawal kewangan perbelanjaan anda. Di sini, anda perlu banyak membuat kajian yang akan berkaitan dengan kewangan perbelanjaan (kos perniagaan) anda dengan aktiviti yang hendak diberikan kepada pelancong tersebut.Disini sebagai ruang dan peluang anda, dicadangkan anda membuat konsep perniagaan ini yang tidak mengeluarkan kos yang tinggi. Mungkin anda boleh melakukan sesuatu aktiviti perlancongan yang tidak melibatkan kos yang tinggi, umpamanya aktiviti jungle tracking, atau anda mengambil komisyen dari aktiviti yang dijalankan oleh syarikat lain.Anda perlu ingat, dalam industry ini anda perlu membuat pelbagai rangkaian perniagaan yang kukuh. Antaranya dengan agensi penerbangan, atau agensi kenderaan darat. Sebab disini anda akan main harga pada kos pengangkutan. Mungkin sesetengah agensi penerbangan akan memberikan anda potongan 10-15% dari harga tiket sebenar, atau merujuk kepada berapa ramai pelancong yang anda bawa pada sesuatu masa.Sebagai agen pelancongan, anda perlu mempunyai kekuatan dalam rangkaian pengetahuan. Disini dimaksudkan, anda perlu ‘up-to-date’ dengan maklumat semasa. Termasuk harga terkini hotel, tempat makan, dan pelbagai. Dan yang paling penting, anda memerlukan kepakaran promosi dan iklan untuk pasaran perkhidmatan anda.

PASARAN

Pelanggan anda mungkin terlalu ‘cerewet’ mengani jenis/bentuk perlancongan yang anda tawarkan. Anda perlu menyediakan bentuk pelancongan yang luas dari mereka yang meminati memancing, jungle tracking, sehingga mereka yang meminati aktiviti sukan air. Pasarkan semua maklumat perniagaan anda ini di Internet, atau web site. Hantar maklumat perniagaan anda (broucher) kepada mereka yang mungkin akan melanggan perkhidmatan anda. Promosikan maklumat ada di kebanyakkan majalah dan suratkhabar di Malaysia.

APA YANG ANDA PERLUKAN

Yang paling penting anda mesti ada ialah Set Komputer, Capaian Internet, Mesin Fax dan talian Telefon.