MInda: Usahawan ibu tunggal
Tan Sri Mohd Ali Hashim
Harian Metro 31/12/09
MINGGU lalu saya menulis persoalan dan masalah sering dihadapi seseorang yang mahu menceburi bisnes. Mereka yang bercita-cita melangkah ke alam bisnes sentiasa berdepan cabaran dan masalah asas, terutama memenuhi keperluan modal memulakan perniagaan.
Di bawah sistem ekonomi kapitalis, keperluan modal yang disampaikan melalui sistem perbankan komersial tidak dapat membantu memenuhi keperluan peniaga baru apatah lagi dengan sistem konvensional berasaskan riba yang menekan dan membebankan peminjam.
Dalam sistem ini, peniaga kecil tidak mendapat pembelaan, malah kerap terperangkap dalam ikatan dan beban hutang berpanjangan dengan pihak bank dan peminjam lain.
Saya ingin berkongsi dua kisah mengenai cara alternatif bagaimana peniaga kecil yang hendak berniaga boleh dibantu menerusi kemudahan Waqaf Dana Niaga yang disediakan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) di bawah kelolaan Johor Corporation (JCorp).
Cerita pertama mengenai Norziah, seorang ibu tunggal berusia 44 tahun dari Pasir Gudang, Johor, kehidupannya terhimpit selepas ditinggalkan suami kira-kira 10 tahun lalu.
Namun, minatnya terhadap bisnes dan menyara 10 anaknya, dia nekad menjalankan bisnes kecil-kecilan.
Tetapi, kekurangan modal dan keperluan wang untuk persekolahan anak-anaknya, dia terperangkap dengan pinjaman along. Hidupnya diburu hutang dan lebih perit apabila bekas suami sering mengganggunya.
Cerita kedua mengenai ibu tunggal berusia 43 tahun, Zulina yang mengambil upah menjahit dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan untuk menyara lima anak masih bersekolah.
Dia berusaha mencari peluang menambah pendapatan demi keselesaan hidup keluarganya. Berbekalkan sedikit simpanan, dia menjalankan bisnes kecil-kecilan.
Asas bisnes, pertamanya anda memerlukan modal. Jenis bisnes juga menentukan saiz dan skala modal bisnes yang diperlukan.
Sesetengah bisnes memerlukan modal cukup besar kerana peralatan dan perkakas yang digunakan mungkin mahal atau membabitkan teknologi tinggi.
Namun, ahli perniagaan yang mengenal pasti dan memahami bisnes tahu bagaimana dan dari mana mendapatkan semula pulangan daripada modal yang dilaburkan. Justeru, mereka perlu memupuk kemahiran merancang secara strategik dan memahami segala aspek berkaitan bisnes.
Bagi bisnes kecil-kecilan, modalnya mungkin tidak seberapa. Tetapi renungkan, perkataan ‘tidak seberapa’ ini mungkin hanya sesuai bagi yang berkemampuan.
Bagi yang kurang mampu tetapi mempunyai impian menjalankan bisnes, masalah modal permulaan akan membantutkan cita-cita.
Ia membelenggu dan cukup dirasai bagi mereka yang tiada apa-apa untuk disandarkan seperti pendapatan tetap dan stabil, simpanan dan aset yang boleh dicagarkan.
Mereka pasti tidak berpeluang mendapatkan pinjaman bank kerana gagal menepati syarat ketat selain beban kadar faedah tinggi.
Di sinilah biasanya terdapat perangkap kemiskinan yang membelenggu golongan berpendapatan rendah dan terputus mata pencarian.
Jika ini berterusan, mereka yang pendek akal dan berputus asa terpaksa membiarkan hasrat berniaga itu berkubur atau memilih jalan mudah dan singkat iaitu meminjam melalui along!
Akhirnya, peminjam itu seperti menjerut tali ke leher sendiri. Bisnes yang dijalankan belum tentu untung ruginya, tetapi hutang perlu dilangsaikan kepada along.
Banyak berita bagaimana keluarga mereka yang meminjam daripada along hidup porak peranda, dipukul, dicederakan, dikurung, menjadi pelarian, diancam malah dibunuh apabila gagal melunaskan pinjaman. Nyata, ansuran dan kadar faedah yang ditetapkan along amat membebankan.
Atas dasar itulah, JCorp menerusi WANCorp memperkenalkan skim pinjaman mikro menerusi Waqaf Dana Niaga. Melalui skim ini, WANCorp memperuntukkan RM200,000 sebagai dana permulaan melalui peruntukan manfaat fisabilillah Waqaf Korporat JCorp.
Untuk maklumat, Waqaf Korporat JCorp dimulakan pada 3 Ogos 2006 melalui pewakafan saham milik JCorp dalam anak syarikat.
Dengan akad persetujuan di antara JCorp dan Majlis Agama Islam Johor (Maij), saham diwakafkan ini didaftar atas nama WANCorp, syarikat dengan jaminan JCorp yang bertanggungjawab sebagai nazir khas, iaitu mutawwali atau pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskan saham yang diwakafkan.
Daripada dividen diperoleh setiap tahun, lima peratus disalurkan kepada Maij, 25 peratus bagi peruntukan fisabilillah manakala 70 peratus dilaburkan semula.
Sehingga kini, WANCorp menerima lebih RM4.6 juta berbentuk dividen yang menjadi sumber modal WANCorp menjayakan program Waqaf Dana Niaga untuk membiayai keperluan modal permulaan, khasnya peniaga miskin yang ingin berniaga.
Peruntukan fisabilillah itu digunakan bagi pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) lain di bawah JCorp termasuk pengurusan dan pembinaan masjid, rangkaian Klinik Waqaf dan Hospital Waqaf An-Nur dan membiayai keperluan Briged Waqaf yang ditubuhkan khas untuk membantu masyarakat mengatasi bencana.
Di antara objektif utama penubuhan Waqaf Dana Niaga ini bagi membantu usahawan kecil seperti Norziah dan Zulina yang menghadapi masalah pembiayaan bagi memulakan bisnes.
Skim Waqaf Dana Niaga cukup menarik. Ia berkonsepkan Qardul Hassan iaitu skim pinjaman tanpa faedah. Pinjaman maksimum yang ditawarkan RM3,000 seorang, manakala pinjaman minimum RM500.
Syarat kelayakannya dipermudahkan, antaranya peminjam berusia 18 tahun ke atas, warga negara Malaysia, usahawan baru dengan cadangan bisnes berpotensi dan usahawan yang menghadapi masalah kekurangan pusingan modal.
Bisnes yang dijalankan mestilah halal dan sah. Selepas permohonan diterima, WANCorp akan menghantar pegawainya menyelidik latar belakang pemohon dan perniagaan mereka.
Sejak beroperasi pada 5 Mei 2007 sehingga November 2009, seramai 106 peniaga kecil atau mereka yang ingin menceburi bisnes menerima manfaat skim ini dengan pinjaman RM237,350.
Mereka mendapat bimbingan dan dipantau bisnesnya oleh eksekutif JCorp.
Setiap peminjam diberikan pelan pembayaran balik secara ansuran yang tidak membebankan untuk tempoh maksimum 24 bulan (bergantung kepada jumlah pinjaman).
Paling menarik adalah mereka tidak dikenakan sebarang faedah bagi pinjaman ini. Ia pasti alternatif bagi membanteras kegiatan along dan membasmi kemiskinan.
Mereka yang diberi keutamaan mendapatkan manfaat skim ini ialah ibu tunggal dan suri rumah. Daripada jumlah peminjam, 22 orang (21 peratus) terdiri daripada golongan ini.
Alhamdulillah, ada di kalangan mereka kini berjaya memulakan bisnes. Walaupun kecil-kecilan, mereka mampu berdikari menyara keluarga dengan bisnes.
Dua kisah ibu tunggal yang saya ceritakan ini adalah antara contoh penerima manfaat Waqaf Dana Niaga ini.
Seorang daripadanya kini memulakan bisnes katering dan menerima pendapatan lebih RM1,000 sebulan.
Seorang lagi terpilih untuk menjadi usahawan Sudut Ayamas di bawah bimbingan KFC Holdings (Malaysia) Bhd bermula pada November 2009 dengan modal daripada Waqaf Dana Niaga.
Dalam dua bulan, peniaga ibu tunggal kedua ini mendapat jualan bersih lebih RM3,200 dengan pendapatan bersih lebih RM600 sebulan!
Prinsip diamalkan ialah memberi ‘joran’ untuk belajar mengail sendiri dan bukan ‘ikan’ mudah dan murah.
Disebabkan dana pinjaman ini daripada sumber wakaf, maka WANCorp memastikan pengurusan skim ini dilaksanakan secara Islamik.
Setiap serahan pinjaman dilaksanakan di masjid di bawah pengurusan JCorp dan memerlukan lafaz akad pemberi dan penerima pinjaman. WANCorp diwakili eksekutif agama atau imam JCorp.
Begitulah contoh peranan institusi wakaf dalam pembangunan ekonomi, terutama dalam konteks masyarakat Muslim daripada golongan bawahan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan menerusi bisnes.
Ketika zaman kegemilangan Islam, banyak sistem wakaf membantu membela kepentingan ummah.
Melalui Waqaf Dana Niaga ini, kita akan memperkenalkan pembaharuan kepada institusi wakaf – membasmi kemiskinan dan kefakiran yang membelenggu masyarakat.