Selasa, 29 Julai 2008

Usahawan Yang Ingin Memohon Pinjaman Dengan Agensi Di Bawah MeCD Wajib Hadir Kursus Insken

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Mulai tahun depan para usahawan yang ingin memohon pinjaman dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diwajibkan menghadiri kursus Institut Keusahawanan Negara (Insken).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar berkata tindakan ini dibuat berikutan aduan yang diterimanya bahawa terdapat usahawan yang telah menghadiri pelbagai kursus yang dikendalikan oleh pelbagai agensi di bawah kementerian itu masih gagal mendapat sebarang kelulusan pinjaman daripada kerajaan.

Untuk itu, kementerian itu kini sedang menyusun kursus yang bakal dikendalikan oleh Insken berdasarkan tahap perniagaan yang diingin diceburi oleh usahawan terbabit agar sesuai dengan pinjaman yang mereka ingin pohon, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak Usahawan di sini hari Sabtu.

Beliau berkata tindakan itu juga bertujuan memperkasakan lagi peranan Insken sebagai institut yang bertanggungjawab melahirkan usahawan berkualiti.

Pada majlis itu, Noh turut menyampaikan pinjaman berjumlah RM4.05 juta kepada lebih 20 usahawan kawasan parlimen Selayang yang telah memohon dengan agensi di bawah kementerian itu.

Petikan:-- BERNAMA

Caj Perkhidmatan Tekun Diturunkan Daripada 8 % Kepada 4% Mulai 1 Ogos

Caj Perkhidmatan Tekun Diturunkan Daripada 8 % Kepada 4% Mulai 1 Ogos


BUTTERWORTH, 26 Julai (Bernama) -- Caj perkhidmatan pinjaman Tekun Nasional akan diturunkan daripada lapan peratus kepada empat peratus setahun mulai 1 Ogos ini, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, penurunan kadar itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung usahawan yang membuat pinjaman Tekun untuk menjalankan projek perniagaan mereka.

Katanya, selama ini Tekun Nasional menggunakan caj perkhidmatan itu untuk operasi pentadbiran dan membayar gaji 900 kakitangannya di lebih 190 cawangan di seluruh negara.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pembangunan Usahawan (Business Center) dan pejabat Tekun Nasional kawasan Parlimen Tasek Gelugor di Taman Sri Murni, Sungai Dua di sini, beliau berkata kerajaan akan memberikan geran sebanyak RM20 juta kepada Tekun Nasional untuk membiayai operasi mereka.

Menurutnya, adalah wajar caj perkhidmatan itu dikurangkan kerana Mara, yang terletak di bawah Kementerian yang sama iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, juga mengenakan caj hanya empat peratus setahun.

Sejak tahun 1999, Tekun Nasional, yang dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun, telah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM893 juta kepada 147,546 usahawan.

Nor Mohamed juga meminta bank-bank komersil supaya memudahkan proses pinjaman bagi membantu golongan usahawan menjana pulangan ekonomi yang lebih baik terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berkata, bank berkenaan juga tidak harus meletakkan pelbagai syarat yang menyulitkan usahawan yang hendak berdikari sebaliknya memudahkan proses memberi pinjaman terutamanya kepada projek-projek yang berdaya maju (viable).

"Mereka juga harus memberi kelonggaran kepada usahawan untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman agar perniagaan tidak tergendala dan mengurangkan risiko peminjam tidak membayar hutang mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional , Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, daripada RM160 juta pinjaman yang disasarkan tahun ini, sebanyak RM120 juta telah diagihkan sehingga 30 Jun lalu.

Beliau berkata, pinjaman tidak berbayar (NPL) Tekun setakat ini ialah 20 peratus.

Petikan:-- BERNAMA

Isnin, 21 Julai 2008

SALAM SEJAHTERA

Assalamualaikum...

Selamat datang ke laman web SAUFI VENTURES yang disediakan khusus untuk usahawan-usahawan untuk sama-sama berkongsi ilmu, pengalaman dan nasihat berhubung perkara berkaitan keusahawanan dan perniagaan.

Sekian, terima kasih.

Saufi Ventures @
-Nazri Ismail
-Ab Khalid Akram
-M.Hasmizal Zakaria